Setiap orang telah diingatkan untuk berwaspada dengan makanan atau minuman sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
Hal ini kerana sebarang makanan atau minuman yang tercemar berpotensi mendorong kepada penyakit yang kritikal tanpa disedari.
Baru-baru ini tular sebuah video yang dikongsikan oleh seorang individu yang memperlihatkan satu fenomena unik yang terjadi pada daging di dalam makanan yang mahu dimakan.

Di dalam video tersebut, kelihatan beberapa cebisan daging mempunyai kesan efek warna pelangi yang aneh padanya. Malah, si pengirim video itu langsung mempersoalkan sama ada ia selamat untuk dimakan atau sudah dikira rosak.
Fenomena yang cukup asing buat ramai orang ini langsung menimbulkan spekulasi bahawa daging itu mungkin sudah dicemari kuman dan seumpamanya.
Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang serius menurut pandangan sains dan menariknya selamat untuk dimakan.
Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS), warna pelangi yang muncul pada daging lembu dikenali sebagai fenomena iridescent beef.
Fenomena warna pelangi pada daging berlaku disebabkan oleh interaksi cahaya dengan serat otot mikroskopik. Selain itu, pigmen semula jadi dalam daging juga boleh menghasilkan warna-warni atau kehijauan apabila terkena haba.
Perlu diingat, daging lembu masak yang rosak akan terasa berlendir, melekit, dan berbau busuk.