Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini mengumumkan penyertaan parti Putra selepas meninggalkan parti Pejuang beberapa minggu yang lalu.

Difahamkan Tun Mahathir memilih parti Putra berikutan asas perjuangan parti tersebut yang dikatakan sinonim dengan diri beliau iaitu memperjuangkan hak orang Melayu tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Walaupun umur saya 97 tahun, hati saya masih lagi dengan perjuangan orang Melayu. Kedudukan orang Melayu sekarang ini lebih banyak masalah dari kaum-kaum lain. Ini bukan kerana perkauman.

“Kita perlu melihat orang Melayu dapat bahagian mereka dalam keadaan di negara kita yang mana mereka sekarang ini tidak menguasai ekonomi dan politik. Kalau kita tak selamatkan orang Melayu, negara kita akan hadapi masalah kepincangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kad keahlian dan watikah Penasihat Putra yang disampaikan oleh Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali, di sini hari ini.

Sementara itu, difahamkan sejak Tun Mahathir menyertai parti tersebut, Putra turut menerima lebih 1,000 permohonan ahli baharu.