DBKL kini menghadapi masalah besar dengan tunggakan sewa sebanyak RM70 juta daripada penghuni perumahan PPR dan PA mereka.
Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, menjelaskan bahawa hutang sewa itu menjejaskan usaha penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan untuk penduduk di bawah seliaan DBKL.

Menurut beliau, antara usaha DBKL dalam menangani isu tunggakan ini adalah dengan tindakan mengunci bekalan air, menghantar notis tuntutan, melaksanakan program pendidikan kewangan, serta menawarkan skim rundingan pembayaran kepada penyewa.
“Langkah ini penting supaya hasil kutipan sewa dapat dikembalikan kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ di sini.
Pertimbang jual unit kepada penyewa
Beliau juga memaklumkan bahawa DBKL sedang dalam pertimbangan untuk menawarkan penjualan unit PPR dan PA kepada penyewa yang layak dari sudut kewangan.
“Memang pada 2015 telah ada satu keputusan untuk membekukan (penjualan) namun saya telah melihat semula keputusan itu dan jika penyewa betul-betul ada kemampuan, kita boleh menjualnya,” katanya.