Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor mengurniakan duit raya kepada pemain negara selepas mencatat kemenangan ke atas Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Perkara ini dikongsikan oleh laman rasmi pasukan kebangsaan iaitu Malaysia NT dimana selain pemain, staf kejurulatihan dan pegawai pasukan juga mendapat duit raya.

Baca Juga:

Tunku Mahkota Ismail Hargai Usaha Pemain

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat memberikan sokongan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam malam tadi.

Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail

“Baginda turut berkenan memberikan kurniaan duit raya kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua staf sokongan. Menjunjung kasih, Tuanku,” dipetik dari laman terbabit.

Pasukan negara berjaya memulakan era di bawah bimbingan Peter Cklamovski dengan langkah kanan dengan menewaskan pasukan Nepal 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail

Pemain warisan, Hector Hevel berjaya menjaringkan gol pertama dalam aksi sulungnya bersama Malaysia di peringkat antarabangsa dimana percubaan Hevel dari luar kawasan penalti membias pertahanan lalu membocori gawang Nepal.

Memasuki separuh masa kedua, anak buah Peter Cklamovski memperbaiki aksi untuk lebih memberikan tekanan buat jentera pertahanan Nepal.

Sepakan percuma Dion Cools pada minit ke-57 begitu cantik menuju pintu gol lawan tetapi hanya sedikit melewati palang ketika penjaga gol, Kiran Chemjong sudah mati langkah.

Gol kedua negara hadir pada minit ke-70 susulan ‘setpiece’ menarik antara Arif Aiman dan Hevel yang kemudiannya disudahkan dengan mudah oleh La’vere Corbin-Ong.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan F.

Vietnam di tangga teratas juga dengan tiga mata namun juara ASEAN itu memiliki kelebihan jaringan hasil kemenangan 5-0 ke atas Laos.