Perisian AI sering disalah tafsir oleh ramai orang sebagai solusi segala permasalahan di dalam dunia walaupun realitinya ia hanya sekadar pembantu maya dalam memudahkan kerja sahaja.
Inilah yang terjadi di dalam kalangan pelajar universiti yang mana percaya setiap tugasan yang diberikan boleh diselesaikan dengan mudah tanpa memikirkan kesan di dalam dunia pekerjaan kelak.
Baru-baru ini, seorang pelajar telah membuat pengakuan yang bukan sahaja bangga dapat menyelesaikan sejumlah tugasan yang diberikan dalam sekelip mata malahan kesian dengan pensyarah yang memberikan tugasan secara mengejut dengan harapan pelajar melakukan dengan telus.
“ Jujur daripada hati I la kan, I kesian kt lecturer2 unimas especially yg boomers. They were trying so hard nak bagi assignment berlambak, assignment last minute tapi sikit pun tak menyukarkan kami,” luahnya.
Malahan, individu terbabit mendedahkan ada di kalangan mereka yang sanggup melanggan ChatGPT Premium yang berharga RM85 serta menggunakan beberapa platform AI lain seperti DeepSeek dan Gemini yang boleh diakses dengan mudah di internet.
Di samping itu, dia juga tampak bangga apabila berjaya meraih markah yang tinggi untuk subjek berkenaan ditambah pula format rujukan yang menepati keperluan di dalam tugasan tanpa perlu berusaha lebih seperti yang sepatutnya.
“Hujung-hujung sem carry mark kami semua kaw2 padu atas 50%. Final exam pejam mata je nak dptkan 30% nak score A,” tambahnya lagi.
Dengan itu, mereka boleh mengumpul carry mark yang tinggi dan boleh pejam mata mendapat baki markah dari peperiksaan akhir dalam mengecapi gred A.
Dia juga sepertinya mempersenda usaha pensyarah dengan mendakwa ia sesuatu yang sia-sia buat mereka menyediakan tugasan yang berlambak dah akhirnya boleh disiapkan dalam tempoh sehari sahaja dengan bantuan AI.

Pengakuan yang disiarkan menerusi page Unimas Confession ini sememangnya meraih perhatian netizen dan ramai percaya kebergantungan menyiapkan tugasan universiti dengan AI semakin melarat pada saban hari sekaligus timbul isu integriti di dalam kalangan pelajar di luar sana.
“Saya tahu pensyarah awak boleh bezakan antara hasil kerja asli atau palsu. Ini bukan sesuatu yang patut dibanggakan,” tegas seorang netizen.
“Nak bila ko dah confess macam ni dan ko perlekehkan lecturer kau. Satu jer makcik nak cakap AI pasti tak ajar ko ADAB menimba ilmukan? Biar la makcik ni dari zaman dinosaur tapi makcik diajar adab menimba ilmu. Nampak sangat ko tak hormat cikgu ko,” respon bengang dari seorang netizen.
“Awak boleh menipu di atas kertas tetapi bukan dalam dunia sebenar. Masa akan tiba( merujuk kepada alam pekerjaan yang perlu implemen ilmu yang dipelajari,” tulis seorang netizen lain.
“Saya bukan lecturer UNIMAS tapi alumni shj… Kalau ya pun gen awak semua macam ni kita tunggu lah awak semua masuk industri nanti. Tengok apa jadi. Tak semua masalah boleh selesai dgn AI…all the best anak2 semua,” ujar seorang netizen lain.
Ramai risau jika kalau mereka mahu memasuki dunia profesional kelak hanya menjadi cita-cita kosong sahaja kerana tidak mempunyai skil dan ilmu yang selayaknya seperti yang dibanggakan kerana hanya menggunakan AI.