Seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Al-Itqaan, Ustazah Radhiah Mohd Shafie mendapat pujian daripada ulama besar tokoh qiraat antarabangsa, Sheikh Dr Aiman Rushdi Suwayd selepas membaca ayat Al-Quran dengan sempurna.

Menerusi hantaran media sosial Maahad Tahfiz Al-Itqaan, bacaan Ustazah Radhiah itu diperdengarkan dalam ‘Musabaqah As-Sufara’.

Ia merupakan satu platform yang diadakan bagi mencungkil bakat para pelajar dalam bidang Al-Quran serta meningkatkan keyakinan mereka dalam memperdengarkan bacaan dengan tajwid dan tartil yang betul.

“Setelah mendengar bacaan tersebut, Sheikh Dr. Aiman Rushdi Suwayd memberikan komen yang amat membanggakan. Menurut beliau, bacaan yang diperdengarkan adalah sangat sempurna — daripada sudut makhraj huruf, sifat huruf serta sifat bagi setiap huruf secara berasingan.

“Bahkan ketepatan bacaan juga terserlah pada sifat yang terhasil daripada penggabungan huruf, seperti idgham, ikhfa’, iqlab dan seumpamanya. Selain itu, beliau turut memuji ketepatan tempoh ghunnah, pemanjangan mad serta kualiti waqaf dan ibtida’ yang sangat baik,” kata beliau.

Tokoh ilmuwan bidang Ulumul Quran, Tajwid, dan Qiraat itu turut kongsikan pesanan supaya Ustazah Radhiah mengajar Al-Quran dan memberi manfaat kepada generasi muda di Malaysia.

“Alangkah baik jika anda mengajar Al-Quran. Mengajarlah. Ajarlah dan berilah manfaat kepada adik-adik muslimah anda di Malaysia. Semoga Allah memberkati anda,” kata Sheikh Dr Aiman.

Anda boleh dengarkan bacaan Ustazah Radhiah di di bawah.

Sumber