Memberikan ulasan mengenai pengalaman yang baru dilalui sama ada menikmati makanan di restoran atau hotel serta penginapan yang baru dikunjungi adalah satu perkara yang biasa di masa kini.
Malah, laman-laman terkemuka seperti Google dan Yelps juga ada menyediakan ruangan ‘Review’ untuk para pengunjung meninggalkan ulasan berkenaan pengalaman mereka di sesuatu tempat.
Hal ini tidak lain tidak bukan adalah bagi memberikan maklumat kepada mereka yang bakal berkunjung serta sebagai nasihat dan teguran jika tidak pujian kepada pemilik perniagaan.
Bagaimanapun, tindakan seorang lelaki ini yang memberikan ulasan di media sosial mengenai percutiannya di resort yang dikatakan milik usahawan terkenal yang dikenali sebagai ‘Dato AS’ bertukar menjadi ugutan buat dirinya.
Lelaki tersebut, Abudi Alsagoff menjelaskan ulasan yang dibuat terhadap percutian dilalui mereka ini menerima respon daripada usahawan tersebut- namun apa yang mengejutkan adalah dia diminta memadamkan ulasan tersebut.
“Saya berkongsikan pengalaman buruk saya di resort miliknya (Dato AS). Ianya jujur dan benar.
“Tetapi sebaliknya dia mengugut saya untuk memadam hantaran itu daripada lebih berusaha meningkatkan kualiti hospitaliti kakitangannya,” kongsinya di Twitter.
Dalam perkongsian yang dibuat di Twitter itu, beliau juga dilihat berkongsikan beberapa lagi tangkap layar perbualannya bersama usahawan dan pemilik resort tersebut mengenai perkara itu.
Selain meminta agar beliau tidak menularkan perkara tersebut, ‘Dato AS’ juga dilihat memberitahu beliau mempunyai rakaman video Abudi ketika menginap di resort tersebut namun tidak dapat dipastikan apakah rakaman yang dimaksudkan.
Another one of his replies pic.twitter.com/iZq75OrQv9
— Abudi Alsagoff (@AbudiAlsagoff) August 17, 2020
Apa ulasan yang diberikan?
Terdahulu, dalam ulasan panjang mengenai pengalamannya di resort yang terletak di Janda Baik itu, Abudi menyenaraikan keseluruhan 15 point yang mengecewakan dirinya dan keluarga ketika menginap disana.
Bermula dengan lantai yang basah dan tong sampah yang diletakkan dengan terbuka di ruangan lobi sehinggalah layanan pekerja di sana yang dikatakan tidak profesional dalam melakukan kerja mereka.
“Pernah pergi hotel? Dekat lobby ada ke tong sampah terbuka?
“Tak lalu mata memandang,” tulisnya dalam ulasan yang dibuat di Facebook itu.
“Salah satu unit yang kami duduk, Gadis Lompat. Ini keadaan bula kami check-in.
“Tuala basah atas lantai wei. Tukang sapu tiada checklist ke sebelum beri kunci kepada tetamu yang seterusnya?” soalnya sambil berkongsi beberapa gambar untuk menguatkan dakwaannya itu.
Anda boleh membaca kesemua 15 rungutan yang dibuat Abudi ketika menginap di resort yang terletak di Janda Baik itu melalui pautan Facebook di bawah.
Pandangan pengunjung lain
Tidak mahu netizen terus membuat spekulasi, pihak resort melalui akaun Instagram mereka @Sugeh hill resort janda baik pada pagi ini memuat naik satu hantaran video yang memaparkan pendapat pengunjung yang menginap di resort mereka.
Video tersebut melihatkan usahawan kosmetik Dato Aliff Syukri berjalan-jalan sekitar resortnya sambil bertanyakan mengenai pengalaman mereka dan rata-rata mereka memberikan ulasan yang baik dan positif.
Walaupun menerima pandangan yang berbeza, namun apa yang menjadi tumpuan kali ini adalah mengenai cara pihak pengurusan resort tersebut mengendalikan rungutan daripada pelanggan mereka.
Daripada menerima dan menyiasat masalah yang telah dibuat, namun pemilik berkeras meminta lelaki tersebut untuk memadam ulasan dan mengugut untuk mengambil tindakan jika beliau tidak berbuat demikian.
Perkara ini sekaligus menimbulkan persoalan kepada sesiapa sahaja kerana jika ulasan yang diberikan adalah tidak betul sudah pastinya anda boleh sahaja menafikan perkara tersebut dan bukannya meminta untuk ulasan tersebut dipadamkan dan dibaca orang lain.
Rungutan mengenai penginapan bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Malah sebuah penginapan di Pulau Perhentian sebelum ini juga pernah melalui perkara sama. Baca bagaimana mereka menguruskannya sebelum ini di pautan di bawah.
Cocohut Long Beach Resort Pulau Perhentian Jawab Tuduhan Halau Pelanggan Kerana RM50
Staff Biadab, Resort Terkenal Di Pulau Perhentian Halau Pelanggan