Persatuan Belia Universiti Malaya (Umany) mendesak untuk mansuhkan program matrikulasi dan menjadikan STPM sebagai satu satunya piawaian untuk kemasukan ke program ijazah di universiti awam.
Presiden Umany, Tang Yi Ze menegaskan bahawa, kajian pihaknya mendapati program STPM adalah lebih baik. Dan dia juga menegaskan bahawa sijil STPM juga diiktiraf oleh universiti ternama dunia yang lain.
Selain itu, menurutnya, silibus STPM jauh lebih ketat daripada matrikulasi.
Tang membuat desakan itu selepas salah seorang calon STPM yang meraih PNGK 4.0 dan merit hampir sempurna gagal mendapat tempat di Universiti Malaya.

Dipetik daripada Malaysiakini, Tang berkata: “Umany telah menerima dan menyerahkan satu tuntutan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung ketidakadilan dalam sistem UPU.
“Ini selepas mendapati seorang pelajar dengan PNGK penuh 4.0 dan markah kokurikulum setinggi 9.45 hanya ditawarkan pilihan kelapan dalam sistem UPU, manakala tiga pilihan utama langsung tidak dipertimbangkan, seolah-olah diketepikan oleh sistem secara sewenang-wenangnya.”
UMANY desak program matrikulasi dimansuh, STPM jadi piawaian tunggal
UMANY dakwa sistem UPU tidak adil kepada pelajar cemerlang#SinarHarian #UMANY #STPMhttps://t.co/QgJb65IYtt
— SinarHarian (@SinarOnline) September 12, 2025
Dia menambah, berlaku ketidakadilan dalam saringan ke universiti awam apabila calon STPM terpaksa bersaing dengan sejumlah besar pelajar matrikulasi.
“Keadaan ini jelas merupakan satu bentuk peminggiran sistematik terhadap pelajar STPM,” katanya lagi kepada sumber yang sama.
Umany juga meminta agar KPT mengeluarkan jumlah markah kemasukan minimum, nisbah Unit Pusat Universiti (UPU) kepada pelajar pengambilan langsung, serta pecahan etnik untuk semua universiti dan semua program tahun ini.
Dia juga meminta KPT agar transparen sepenuhnya dalam mendedahkan mekanisme pengambilan serta mengeluarkan data pengagihan kursus pengajian yang dikendalikan oleh sistem UPU.
Ini termasuk pecahan pengambilan pelajar daripada pelbagai aliran melibatkan STPM, matrikulasi, asasi, diploma dan A-Level.