Dalam langkah yang disifatkan sebagai ‘kemenangan diplomasi’ oleh sesetengah pihak, namun disambut dengan penuh tanda tanya oleh yang lain, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengumumkan pemotongan tarif import ke atas produk Indonesia — dari 32% ke 19%.

Namun, di sebalik ‘hadiah’ ini terselit empat tuntutan besar yang perlu ditunaikan oleh Jakarta.

Tarif

Kesepakatan ini diumumkan secara rasmi semalam melalui saluran media sosial peribadi Trump dan kemudiannya disahkan oleh pihak Gedung Putih.

Dalam kenyataan ringkas, Trump berkata bahawa perjanjian ini terhasil selepas perbualan secara langsung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Saya bercakap dengan presiden mereka yang sangat hebat, sangat popular, sangat kuat, cerdas, dan kami mencapai kesepakatan,” katanya.

Dibayar Dengan 4 Syarat

Namun, menurut Detik, perjanjian ini bukan sekadar soal pemotongan tarif.

Ia datang dengan empat syarat utama yang menuntut komitmen ekonomi yang sangat besar daripada Indonesia.

Antara syarat paling berat ialah komitmen Indonesia untuk tidak mengenakan sebarang tarif terhadap produk keluaran Amerika Syarikat.

Tarif

Ini bermakna pasaran Indonesia akan lebih terbuka kepada produk luar, yang berpotensi memberi cabaran besar kepada pengusaha tempatan.

Yang kedua dan ketiga melibatkan komitmen pembelian besar-besaran: produk tenaga dari AS bernilai USD 15 bilion (anggaran RM244 bilion) dan produk pertanian berjumlah USD 4.5 bilion (kira-kira RM73 bilion).

Dengan nilai pertukaran semasa, jumlah keseluruhan pembelian ini hampir mencecah RM317 bilion — satu angka yang mengundang pelbagai persoalan mengenai impak jangka panjang terhadap imbangan dagangan dan kestabilan fiskal Indonesia.

Tarif

Syarat keempat pula menyentuh soal strategik dan simbolik — pembelian 50 buah pesawat Boeing, kebanyakannya model 777, oleh syarikat penerbangan nasional Garuda Indonesia.

Langkah ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai bentuk ‘bailout tidak rasmi’ kepada industri penerbangan AS yang masih bergelut selepas pandemik dan siri isu teknikal Boeing sebelum ini.

Menteri Perdagangan AS, Howard Lutnick, dalam temubual bersama CNBC menyatakan bahawa langkah ini akan menjadikan pasaran Indonesia lebih mesra terhadap produk Amerika, sambil menegaskan bahawa hanya satu pihak yang masih membayar tarif dalam perjanjian ini — dan ia bukan Amerika Syarikat.