Kerajaan kini bersedia memperkukuh kerangka perundangan sedia ada bagi menutup ruang manipulasi dan salah guna kutipan derma serta pendanaan awam yang sering dijadikan jalan mudah mengumpul kekayaan oleh pertubuhan dan individu tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersedia meneliti keperluan tersebut menerusi kerjasama bersepadu melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan Persekutuan serta jabatan agama negeri, petik Berita Harian.

Menurut beliau, langkah ini amat mendesak bagi memastikan setiap kutipan sumbangan awam dijalankan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab, di samping memastikan undang-undang negara kekal relevan dengan cabaran semasa.

Reformasi Undang-Undang Pemegang Amanah Sudah Bermula

Memetik Berita Harian lagi, Azalina menjelaskan bahawa BHEUU sebelum ini telah pun mengambil langkah proaktif meminda undang-undang berkaitan pemegang amanah demi meningkatkan aspek pemantauan dan akauntabiliti.

“Dalam hal ini, BHEUU JPM sendiri sudah laksana reformasi terhadap Akta Pemegang Amanah 1949 dan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

“Ia bagi memperkukuh ketelusan, pemantauan dan akauntabiliti pengurusan amanah, termasuk aspek pemunya benefisial serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Pindaan terbabit diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan berkuat kuasa pada 20 Februari 2025,” katanya.

Keperluan Akta Khairat & Cabaran Kutipan Digital

Sebelum ini, kelompangan dalam perundangan sedia ada dilihat masih gagal mengekang sepenuhnya ketirisan sistem pendanaan awam, khususnya melibatkan ketelusan sumber dana dan penguatkuasaan terhadap penerima sumbangan.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mencadangkan penggubalan Akta Kebajikan (Akta Khairat) bagi menyelia kutipan derma dan infak oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengesahkan persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional untuk merangka draf Rang Undang-Undang (RUU) Khairat bagi mengawal selia entiti amanah serta pendanaan awam.

BHEUU dalam maklum balasnya turut menegaskan bahawa kerangka kawal selia perlu bergerak pantas seiring perubahan zaman kerana setiap ringgit yang disumbangkan rakyat adalah satu amanah besar.

“Cabaran hari ini ialah kaedah kutipan dana yang berkembang pantas seiring kepesatan teknologi, terutama melalui media sosial, kod QR, pindahan segera, crowdfunding dan transaksi rentas sempadan,” katanya.

Kerjasama Rentas Kementerian Tangani Penyelewengan NGO

Dalam pada itu, BHEUU menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain sekiranya terdapat keperluan untuk meminda undang-undang berkaitan.

Walaupun pemantauan pertubuhan dan kajian ke atas Akta Pertubuhan 1966 terletak di bawah bidang kuasa KDN, BHEUU menegaskan bahawa sebarang aktiviti kutipan dana yang mempunyai unsur penipuan, pecah amanah, rasuah atau pengubahan wang haram tetap boleh diambil tindakan tegas oleh agensi penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang jenayah sedia ada.

Bagi kes melibatkan penyelewengan oleh NGO yang berselindung di sebalik hal ehwal Islam pula, BHEUU memberi jaminan untuk berganding bahu dengan jabatan berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.