Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 akan berlangsung pada 2 hingga 8 Disember nanti di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka.

Kejohanan yang bakal memasuki edisi ketiga itu menyaksikan pasukan bertanding akan bersaing bagi merebut kejuaraan regu lelaki, beregu lelaki dan acara baharu iaitu regu wanita.

Baca Juga:

Edisi 2022 menyaksikan Johor muncul juara regu manakala Perak pula mengungguli saingan beregu manakala pada tahun lalu, Perak menjuarai acara regu dan PDRM pula menjulang trofi bagi beregu.

Masih diadakan di lokasi sama seperti dua edisi lalu, kejohanan kali ini bakal menyaksikan penyertaan 18 pasukan regu dan beregu lelaki serta sembilan pasukan regu wanita.

Juara bertahan, Perak dilihat sedikit berdepan tugas sukar kerana berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat tekong import, Kritsada Sungvung yang bakal menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan Thailand.

Difahamkan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin bakal menjadi sandaran utama buat skuad kendalian Dzafril Anuar itu.

Pasukan pilihan lain seperti Kuala Lumpur juga dilihat akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain import dan ia pasti menarik untuk disaksikan.

Berikut merupakan keputusan penuh undian Piala Tun Ali 2024 yang berlangsung malam tadi:

Regu Lelaki

Kumpulan A – Perak, Pulau Pinang, Melaka & KPT-MASUM

Kumpulan B – Negeri Sembilan, Sabah, KPM-MSSM & Bomba

Kumpulan C – Johor, Putrajaya, Pahang, PDRM & Kedah

Kumpulan D – Kuala Lumpur, Penjara, Selangor, Terengganu & ATM

Beregu Lelaki

Kumpulan A – PDRM, Putrajaya, ATM & Melaka

Kumpulan B – Kuala Lumpur, Sabah, KPT-MASUM & Negeri Sembilan

Kumpulan C – Pulau Pinang, Pahang, Penjara, Terengganu & Johor

Kumpulan D – Selangor, KPM-MSSM, Bomba, Kedah & Perak

Regu Wanita

Kumpulan A – PDRM, Perak, Sabah & Kuala Lumpur

Kumpulan B – Perlis, Melaka, Kelantan, Kedah & Selangor