Bagi mereka yang membesar di tahun 80-an, nama Oshin bukanlah asing. Drama sebanyak 297 episod ini merupakan antara drama popular bukan saja di negara ini tapi juga adalah drama paling banyak ditonton dalam sejarah drama Jepun.
Lebih menarik, drama yang memaparkan kisah hidup dan perjuangan seorang gadis miskin sejak di zaman Meiji hingga ke tahun 1980 ini turut ditayangkan di 68 negara lain, dengan berbagai subtitle daripada bahasa Inggeris hingga ke bahasa Arab.
Oshin, seorang gadis yang dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin telah dihantar oleh bapanya ketika berusia 7 tahun untuk bekerja sebagai penjaga bayi (baby sitter) di rumah keluarga kaya, demi untuk menyara keluarga.
Kehidupan Oshin sebagai penjaga bayi bukanlah mudah. Di saat usia masih mentah, Oshin terpaksa memikul tanggungjawab yang besar.
Ditambah lagi dengan berbagai deraan fizikal dan mental oleh ketua pekerja di rumah majikannya, Oshin harus tabah bertahan demi keluarga di kampung.
Keadaan Oshin ini telah menarik simpati seorang guru sekolah di kawasan tersebut hingga mendorong dia memujuk agar majikan Oshin membenarkan gadis kecil ini ke sekolah, dengan membawa bersama bayi yang dijaga Oshin (iaitu anak majikannya).
Tapi di sekolah pula, Oshin dibuli rakan sekelas hingga membahayakan nyawa bayi dibawah jagaannya. Kisah kesukaran hidup Oshin menarik simpati mereka yang menonton drama ini.
Disebabkan ini berdasarkan kisah autobiografi, drama Oshin bukan saja tentang kisah waktu kecilnya tapi juga berterusan sehingga kisah cinta di usia remaja, sesudah Oshin berkeluarga dan ketika sudah berusia.
Saya tidaklah mahu bercerita banyak tentang kisah Oshin sebab anda boleh cari dan tonton di internet. Tapi apa yang ingin saya kongsikan adalah pengalaman dan lokasi menarik di sebalik drama yang pernah diminati ramai ini iaitu Wilayah Yamagata, satu wilayah yang masih asing bagi kita di Malaysia.
Pada awal Januari 2018, 2 pengembara iaitu Jack S Adli yang merupakan pengasas FB group Road To Japan dan Jeroong Wia telah dijemput oleh Yamagata Tourism untuk melihat sendiri keindahan daerah yang pernah menjadi lokasi utama penggambaran drama yang pernah popular ini.
Tarikan utama di Yamagata
Sama ada anda peminat drama Oshin yang ingin menjejaki lokasi penggambaran drama ini sambil mengimbau kenangan lama, atau sekadar ingin melihat keunikannya, berikut adalah tarikan yang ada di sini.
1. Zao Mountain – tarikan di musim sejuk
Di atas gunung Zao ini terdapat barisan snow monster. Bagi anda yang pernah ke Jepun, anda tidak akan jumpa monster snow sebegini di tempat lain di negara ini.
Snow monster di atas gunung Zao ini hanya ada pada musim sejuk sahaja. Ia terjadi akibat pembentukan angin kuat yang menolak salji sehingga menimbun dan menenggelamkan pokok-pokok, membentuk seakan seekor raksaksa.
Zao mountain juga sangat terkenal dengan ski resort. Jadi bagi anda yang ingin mencuba bermain ski di Jepun, selain daripada Gala Yuzawa, Zou mountain adala pilihan lain untuk anda. Ditambah di sini masih kurang pelancing, menjadikan suasana di sini kurang sesak.
Untuk ke sini anda perlu menaiki kereta kabel dari bawah gunung.
2. Zao Crater – tarikan di musim panas
Zao Crater adalah bekas kawah gunung berapi di atas puncak gunung Zao. Di kawah ini terdapat tasik berwarna hijau yang sangat-sangat cantik.
3. Buah ceri – tarikan di musim panas
Pada musim panas juga, di wilayah Yamagata sangat terkenal dengan petik buah iaitu ceri. Waktu terbaik untuk datang ke Yamagata adalah dari Jun sehingga Julai kerana ketika itu buah masak ranum.
4. Ginza Onsen
Selain daripada itu, terdapat banyak kolam air panas semulajadi yang terkenal terletak di Yamagata dan salah satunya adalah Ginza Onsen.
Merupakan antara perkampungan tua yang tercantik di Jepun, kota ini juga sangat unik kerana masih terdapat rumah lama di kiri kanan jalan, di mana air panas mengalir di tengah-tengah sungai diantara rumah. Sangat unik!
5. Lokasi set penggambaran dan rakaman drama Oshin
Terdapat lebih daripada 10 tempat pengambaran Oshin di Yamagata tetapi yang paling disarankan oleh Jeroong Wia adalah Bandar Sakata iaitu Former Abumiya Residence. Ini adalah lokasi untuk babak kawasan perumahan Oshin sewaktu kecil.
Turut terdapat di sini adalah Sankyo Soko Storehouse iaitu babak Oshin dan ibunya, Fuji bertemu kembali. Peminat Oshin semestinya tahu tentang babak-babak ini.
Cara ke Wilayah Yamagata
Lokasi di atas sangat mudah dikunjungi dengan menggunakan pengangkutan awam dari Tokyo. Wilayah Yamagata yang terletak di Tohoku mengambil masa 2 jam 30 minit daripada stesen Tokyo dengan menggunakan Shinkansen.
1. Pergunungan ZAO
i. TOKYO/UENO 《Shinkansen》 YAMAGATA
Tempih perjalanan: 2 jam 30 minit
Tambang: ¥10.300
Setiba di stesen Yamagata bersambung dengan naik bas. Tiket bas oleh di dapati di kaunter berhadapan hentian bas.
ii. Stesen YAMAGATA (Bas) ke ZAO Onsen Bas Station.
Tempoh perjalanana : 45 minit
Tambang: ¥1000 sehala
Berjalan kaki 200M ke Zao Cable car.
2. Ginza Onsen
i. TOKYO/UENO 《Shinkansen》OISHIDA (Yamagata)
Tempoh perjalanana: 3 jam 10 minit
Tambang: ¥11.230 sehala
Setiba di stesen Oishida bersambung dengan bas
ii. Oishida Station (Bas) ke Ginzan Onsen
Tempoh perjalanan: 30 minit
Tambang: ¥760 sehala
Tip penjimatan kos pengangkutan
1. Guna pass-pass berikut
i. JR pass
ii. JR Tohoku pass
iii. JR East – South Hokkaido pass
2. Beli Combo tiket – tiket bas pergi balik + ZAO Cable Car.
Tambang: ¥4100.
Cadangan perjalanan dan itinerari
1. Trip sehari ke pergunungan ZAO dari Tokyo/Ueno
7.18am [Ueno – Yamagata] Shinkansen
10.06am Tiba Yamagata
10.20am berlepas ke Zao Onsen dengan bas
11.10am tiba di ZAO Onsen
Lawatan dan aktiviti di ZAO
5.20pm berlepas ke Yamagata Station dengan bas
6.10pm Tiba Yamagata
7.31pm [Yamagata – Ueno] Shinkansen
10.18pm Tiba Ueno
2. Trip 2 Hari 1 Malam
Hari 1
7.18am [ueno – Yamagata] Shinkansen
10.06am Tiba Yamagata
10.20am berlepas ke Zao Onsen dengan bas
11.10am tiba di ZAO Onsen
Lawatan dan aktiviti di ZAO
5.20pm berlepas ke Yamagata Station dgn Bas
6.10pm Tiba Yamagata. Bermalam di Yamagata
Hari 2
8.42am [Yamagata – Oishida] local train
9.31am Tiba Oishida station
9.50am Berlepas ke Ginzan Onsen dengan Bas
10.26am Tiba di Ginzan Onsen
Lawatan dan aktiviti di Ginza Onsen
2.55pm Berlepas ke Oishida station dengan Bas
3.31pm Tiba di Oishida Station
5.27pm [Oishida – Ueno] shinkansen
8.42pm Tiba Ueno.
Hotel dan penginapan
Terdapat beberpa hotel dan homestay yang di tawarkan sekitar Yamagata station dan Murayama. Harga di antara ¥3000 – ¥7000.
Ada antara hotel menyediakan private onsen percuma kepada pelanggan.
Cadangan terbaik adalah bermalam sekurang-kurangnya 2 malam di sekitar Yamagata. Pasti anda akan jatuh cinta dengan ketenangan dan keunikannya.
Untuk pengetahuan anda, buat masa ini Yamagata Tohoku bukanlah daerah yang popular di kalangan para pelancong. Dalam erti kata lain, lokasi ini adalah antara off the beaten path yang mesti dijejaki jika anda seorang yang gemar menjelajah lokasi yang masih dikira rare di Jepun.
Anda juga boleh menghubungi Wiki Wiki Pokwa, warga Malaysia yang bekerja di Murayama Tourism Center jika ada sebarang soalan berkenaan wilayah Yamagata.