Pasukan Sepak Takraw Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dinobatkan sebagai juara Dragons Cup 2025 selepas menampilkan aksi cemerlang dalam kejohanan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Elmshorn, Jerman pada 14 dan 15 Jun lalu.
Pasukan yang diwakili oleh pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI itu menewaskan pasukan tuan rumah dalam kedua-dua kategori iaitu beregu dan regu pada perlawanan akhir, sekali gus menamatkan kempen kejohanan tanpa sebarang kekalahan.
Kejohanan itu turut disertai 17 pasukan dari seluruh Eropah termasuk Perancis, Belgium dan Switzerland.
UPSI turut membuktikan keunggulan apabila menumpaskan juara bertahan, Universiti Heidelberg dari Jerman dengan keputusan 2–0 dalam perlawanan peringkat kumpulan.
Pada aksi final, UPSI menewaskan kelab tempatan Elmshorn juga dengan keputusan 2–0.
Jurulatih pasukan, Mohd Fadzlan Shah, berkata kejayaan itu adalah hasil latihan intensif serta perancangan strategi yang rapi sepanjang tempoh persediaan.
“Saya yakin pemain UPSI mempunyai potensi besar untuk terus menyerlah di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Selain penyertaan dalam kejohanan, pasukan turut mengadakan demonstrasi permainan di Universiti Hamburg serta bengkel di beberapa buah sekolah termasuk Boje Steffenschule, Anne Frank Schule dan KGSE Schule.
Program tersebut dikendalikan dengan bantuan penterjemahan oleh Dr. Robe’ah Yusuf dan dibimbing oleh jurulatih pasukan.

UPSI Bawa Budaya Malaysia Di Jerman
Dalam pada itu, pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) universiti berpangkalan di Tanjung Malim, Perak tersebut turut diberi penghormatan mempersembahkan persembahan kompang dan tarian tradisional semasa majlis pembukaan kejohanan, sekali gus memperkenalkan budaya Malaysia kepada komuniti antarabangsa.
Pegawai pengiring, Dr. Mohd Amir, berkata kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencetus semangat buat atlet muda Malaysia, malah turut membuka ruang kepada kerjasama sukan antara Malaysia dan Jerman pada masa akan datang.
Mengakhiri misi lawatan, delegasi UPSI turut melakukan kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Jerman dan mengadakan perbincangan awal dengan pihak pengurusan Universiti Hamburg berhubung potensi kerjasama dua hala dalam bidang sukan dan pendidikan.