Universiti Sains Malaysia (USM) dan syarikat spin-off universiti tersebut, SpaceIn Sdn Bhd melakar sejarah apabila melancarkan satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D pada Ahad jam 2.47 pagi waktu tempatan.

Pelancaran tersebut menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX dari Vandenberg Space Force Base, California.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr. Norilmi Amilia Ismail berkata, misi satelit piko itu merupakan hasil usaha bersama antara USM, SpaceIn, dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menandakan pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Malaysia Space Exploration 2030.

Tambah beliau, SpaceANT-D akan dilepaskan daripada ‘deployer‘ (pengerahan) ‘Alba Orbital’ dalam masa tujuh ke 10 hari lagi sebelum isyarat pertama satelit dihantar ke stesen bumi.

“SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter (cm) dan berat kurang dari 250 gram (g) ini akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT.

“Ia dinamakan SpaceANT-D (Space Advance Network Technology) berikutan satelit ini akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya data ini dihantar semula ke stesen bumi.

“Daripada stesen bumi, data akan dihantar ke ‘cloud’ untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut Dr. Norilmi lagi, pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil ini akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan.

Industri pertanian, perhutanan serta industri minyak dan gas menjadi tumpuan SpaceIn pada ketika ini dalam penggunaan satelit SpaceANT.