Muhammad Noraizat Mohd Nordin cukup dikenali sebagai apit kanan yang mempunyai kemampuan hebat dalam melakukan libasan serta menghadap ‘serangan’ lawan.

Namun senario yang cukup berbeza dapat disaksikan peminat sepak takraw tanah air pada aksi klasifikasi ke-5/8 saingan STL 2025 GP Johor antara Perak Bison menentang ATM Guardians petang tadi.

Baca Juga:

Akibat kecederaan dialami dua tekong pasukan, Najmi Syahfiq Anuar dan Mior Zulfikar Mat Amin menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu terpaksa menggalas tanggungjawab di posisi tersebut.

Berada dalam keadaan tertekan berikutan kekalahan pada set pertama 11-15 dan kemudiannya ketinggalan di peringkat awal set kedua, Perak Bison terus dirundung malang ekoran prestasi kurang baik Najmi Syahfiq.

Tiada pilihan lain kerana khidmat Mior Zulfikar turut tidak dapat digunakan atas faktor kecederaan, Noraizat Nordin tampil ke gelanggang selaku tekong.

Noraizat Nordin

Noraizat Nordin Cemerlang Sebagai Tekong

Pemain berusia 26 tahun itu jelas membalas kepercayaan tersebut dengan mempamerkan aksi baik walaupun tekong bukanlah posisi kegemaran beliau.

Berjaya mengangkat bola pertama servis tekong lawan dengan baik, Noraizat Nordin turut beberapa kali berjaya menjelmakan servis yang menghadiahkan mata buat Perak Bison.

Penampilan baik selaku tekong itu membantu Perak Bison meraih kemenangan 17-16 pada set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Skrip sama berulang apabila kombinasinya bersama Nazrein Daniel Kamal Mustafa (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) tenang menyerap tekanan malah membuatkan gandingan ATM Guardians pula berdepan kesukaran yang akhirnya membolehkan Perak Bison memenangi perlawanan dengan 15-12.

Tekong sebenarnya bukanlah posisi asing buat Noraizat kerana sebelum beralih ke apit kanan, beliau memang merupakan pemain tekong.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Noraizat mengakui ia memang merupakan perancangan bersama barisan kejurulatihan kerana melihatkan kepada masalah dihadapi.

“Situasi tadi memang kami dah berbincang dengan barisan jurulatih dan pengurusan sekiranya terjadi apa-apa kepada Bob (merujuk kepada Najmi).”

“Pelan B memang saya kena jadi tekong, kami perlu cuba cara tersebut kerana Meor mengalami kecederaan,”

“Jadi, perlawanan tadi saya dan rakan-rakan hanya bermain tanpa sebarang tekanan, sekadar menikmati perlawanan tersebut,” ujar Noraizat Nordin ketika dihubungi The Vocket.

Dengan kemenangan tersebut, Perak Bison akan menanti cabaran Melaka Titans pada penentuan kedudukan ke-5/6 pada petang esok.