Tonggak skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Awalluddin Mat Nawi cemerlang dengan dua gol dalam membantu pasukannya menundukkan Selangor 3-0 pada aksi kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025, malam tadi.
Kemenangan penting dilakarkan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam terus meletakkan JDT pada kedudukan teratas liga dengan kelebihan perbezaan jaringan walaupun terikat enam mata bersama Pahang Rangers.
Baca Juga:
- VIDEO: Ketenangan Awalluddin ‘Perdayakan’ Dua Pemain Thailand
- Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
- 4 Pemain Ini Mampu Untuk Beraksi Di Liga Futsal Thailand

Selepas lapan minit yang cukup menarik dengan kedua-dua penjaga gol cemerlang menafikan deretan percubaan ke kubu masing-masing, Awalluddin menjelmakan kemampuan hebatnya untuk merobek gawang Selangor pada minit kesembilan.
Berpunca daripada hantaran jauh dilakukan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq yang terus mencari Awalluddin di kawasan Selangor, pemain skuad kebangsaan itu mengawal bola menggunakan kaki kanan dan kemudiannya melakukan pusingan serta melepaskan rembatan separa voli kaki kiri untuk membuka tirai jaringan.
Walaupun Awalluddin diketahui sememangnya mempunyai kualiti penyudah yang cukup baik, jaringan tersebut jelas mencuri tumpuan ramai.

Gol itu juga boleh dianggap berkelas dunia melihatkan kepada kemampuan serta ketenangannya mengawal bola dan menyudahkan peluang dalam sudut yang cukup sempit bagi menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Selepas mengharungi dua perlawanan liga, Awalluddin Mat Nawi sudah mencetak tiga jaringan untuk berada ditangga teratas senarai penjaring terbanyak bersama rakan sepasukannya, Caio Cesar Garcia Rego dan pemain Pahang Rangers, Matheus Moura Batista.