Liga Futsal Thailand boleh dianggap sebagai antara saingan domestik yang cukup kompetitif dengan kebanjiran pemain-pemain berbakat besar dan terkenal terutamanya di pasukan Hongyen Thakam, Black Pearl United, Chonburi Bluewave, Port FC dan Thammasat Stallions.
Dengan aksi intensiti tinggi, corak permainan pantas serta penganjuran yang konsisten saban tahun, tidak keterlaluan untuk kita mengimpikan ada pemain Malaysia beraksi dalam Liga Futsal Thailand.
Baca Juga:
- VIDEO: Ketenangan Awalluddin ‘Perdayakan’ Dua Pemain Thailand
- Sentuhan Suphawut Thueanklang Masih Berbisa, Ledak Hatrik Bantu Thailand Belasah Australia
- VIDEO: Gol Roket Kaki Kiri Muhammad Osamanmusa Dalam Liga Futsal Sepanyol 2023/24
Dengan beberapa bakat berkualiti dimiliki, pemain Malaysia juga dilihat mempunyai kredibiliti untuk beraksi baik dalam saingan yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 itu.
Antara pemain yang disifatkan sudah mampu untuk mengembangkan karier mereka di Thailand ialah:
1) Awalluddin Mat Nawi
Kemampuan Awalluddin tidak perlu lagi untuk diragui bersandarkan kepada kemampuannya dalam menjadi tonggak skuad futsal negara sejak berusia 19 tahun.
Beraksi di posisi pivot, Awalluddin sentiasa menjadi igauan buat penjaga gol pasukan lawan terutamanya menerusi rembatan kaki kiri berbisa dimilikinya.
Pengalaman luasnya di pentas antarabangsa dilihat mampu menjadi nilai tambah buat Awalluddin sekiranya beliau berpeluang untuk beraksi di Thailand.
Tambahan pula beliau memiliki kekuatan fizikal yang jelas membuatkan barisan pemain Fixo pasukan lawan berdepan kesukaran untuk merantai pergerakannya.
2) Muhd Ekmal Shahrin
Beraksi di posisi sama seperti Awalluddin, Ekmal turut memiliki kekuatan fizikal yang jelas menjadi aset penting buatnya ketika beraksi.
Beliau yang kini terpaksa berehat akibat kecederaan dialami turut mempunyai kualiti penyudah cukup tajam dalam merobek gawang lawan.
3) Abu Haniffa Hassan
Beliau merupakan pemain paling berpengalaman dalam skuad futsal kebangsaan pada ketika ini.
Pengalaman luas serta ketenangan di tahap tertinggi menjadi kunci utama Abu Haniffa mampu konsisten dalam tempoh cukup lama dalam kancah futsal tempatan serta antarabangsa.
Ketenangan tersebut juga turut membantu Abu yang berkemampuan untuk mencipta jaringan-jaringan penting dalam membantu pasukan.
4) Syahir Iqbal Khan Akbar Khan
Meskipun hanya berusia 19 tahun, Syahir telah menjelmakan kemampuan hebatnya bagi bersaing di peringkat antarabangsa.
Beraksi pada Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 dan Kejuaraan Futsal NSDF 2024, beliau memberikan isyarat awal bahawa dirinya kini semakin bertambah baik.
Aksi matang, berjiwa besar ketika beraksi serta pemahaman terhadap futsal moden yang cukup tinggi dipamerkan menjadi kekuatan buat Syahir.
Kesimpulan
Senarai empat pemain ini bukanlah untuk menidakkan kemampuan pemain lain yang mungkin pada pendapat anda mampu untuk beraksi di Thailand.
Masih ada lagi pemain-pemain berkualiti seperti Ridzwan Bakri, Syed Aizad Danial Syed Nasir, Faris Johan, Ahmad Harith Na’im, Saad Sani dan Muhamad Danial Dain yang beraksi baik bersama skuad futsal kebangsaan tempoh hari.
Tetapi, ia merupakan pendapat peribadi penulis dengan memperlihatkan kepada semangat berjiwa besar ketika beraksi di pentas antarabangsa serta pemahaman kepada taktikal futsal moden dan beberapa elemen tambahan dalam menangani intensiti tinggi sesebuah perlawanan.
Ia kerana seperti diperjelaskan pada awal tadi, saingan di Liga Futsal Thailand memerlukan seseorang pemain itu cepat menyesuaikan diri dengan aksi intensiti tinggi.
Malah, keempat-empat pemain yang disenaraikan ini juga mempunyai sosok tubuh cukup baik untuk menyaingi pemain-pemain di Liga Futsal Thailand.
Mungkin dengan dua pengendali dari Thailand iaitu Rakhol Sainetngam (Ketua Jurulatih Futsal Malaysia) dan Patt Sriwijit (Ketua Jurulatih Sabah) yang kini di Malaysia dapat membantu dalam merealisasikan impian ini.
Sebagai rekod, Muhammad Firdaus Zulkefli menjadi pemain pertama dari Malaysia yang beraksi di saingan Liga Futsal Thailand pada musim 2022/23 bersama National Telecom FC.