Kehangatan aksi persahabatan skuad futsal Malaysia bertemu Indonesia semakin dirasakan dengan kedua-dua pasukan akan turun ke gelanggang pada jam 8.00 malam ini (waktu tanah air).

Kali terakhir bertemu dalam saingan Sukan SEA 2021 di Vietnam, Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia dan tiada lagi aksi melibatkan dua negara tersebut selepas itu.

Baca Juga:

Sehubungan dengan itu, perlawanan yang bakal berlangsung di GOR Amongrogo, Yogyakarta tersebut bakal menggamit kehadiran ribuan penyokong selepas tiket dalam talian dan fizikal disahkan sudah pun habis dijual.

Bagi peminat futsal yang berada di Malaysia dan tidak berkesempatan ke Yogyakarta, jangan risau kerana anda boleh menyaksikan perlawanan menarik itu di laman Youtube penganjur pertandingan, Futsal Series.

Malaysia dan Indonesia kini dalam persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2024 yang dijadualkan berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima pada 2 hingga 11 November.

 

Skuad negara telah diundi berada dalam kumpulan A bersama-sama Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Brunei. Manakala Indonesia pula bersama Australia, Myanmar dan Kemboja.

Edisi lalu menyaksikan Indonesia begitu hampir untuk mengecap kejuaraan tetapi Muhammad Osamanmusa menyamakan kedudukan ketika aksi hanya beberapa saat untuk ditamatkan.

Aksi kemudiannya berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti dan Thailand lebih bernasib baik untuk menang 5-3 selepas Ardiansyah Runtuboy gagal menyempurnakan sepakan kedua.

Kali ini merupakan peluang terbaik buat Malaysia dan Indonesia untuk merebut kejuaraan kerana Thailand dikatakan hanya akan menghantar barisan pemain muda.

Hal ini kerana skuad Thailand kendalian Miguel Rodrigo baharu sahaja pulang daripada Uzbekistan dalam menghadapi Piala Dunia Futsal yang menyaksikan mereka mara ke pusingan 16.