Liridon Krasniqi menyatakan hasratnya untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan tetapi rata-rata penyokong seperti tidak teruja dengan pendedahan tersebut.
Pemain naturalisasi negara itu bergelar ejen bebas apabila beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas beraksi dengan Terengganu dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.

Baca Juga:
- Liridon Krasniqi Mahu Kembali Beraksi Bersama Harimau Malaya
- Liridon Krasniqi Tunggu Panggilan Telefon Dari Kedah
- Sanggup Main Secara Percuma, Liridon Krasniqi Mahu Bantu Kedah
Tanpa sebarang kelab disertai dalam tempoh hampir dua tahun memang sedikit sukar buat pemain berusia 33 tahun itu untuk memenangi hati pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Tambahan pula skuad negara selepas ini bakal diperkuatkan dengan kehadiran 7-8 pemain warisan yang datangnya dari kelab-kelab atasan di Eropah.
Keadaan yang mungkin akan menyukarkan peluang Liridon untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Namun di sebalik keadaan beliau cukup sukar untuk mendapatkan pasukan bola sepak yang pasti akan menyukarkan peluangnya untuk kembali, penulis berpendapat ada cadangan lain bagi membolehkan Liridon Krasniqi terus berbakti buat Malaysia.
Liridon Krasniqi, Sila Lupakan Bola Sepak Dan Fokus Kepada Futsal
Liridon memiliki teknik berkualiti tinggi terutamanya dalam aspek pengawalan bola, kreativiti dalam permainan dan kemahiran teknikal yang cukup ‘halus’.
Kemampuan ini juga merupakan elemen penting dalam futsal, dimana permainan lebih pantas dan memerlukan kawalan bola yang sangat baik dalam ruang terhad dan lebih kecil berbanding bola sepak.
Futsal bukan sahaja memerlukan kepantasan tetapi juga kecekapan dalam membuat keputusan yang tepat di dalam masa yang singkat.
Seperti diketahui ramai, Liridon terkenal dengan kemampuannya ketika membaca permainan dan mencipta hantaran-hantaran tepat, dua elemen yang amat diperlukan dalam futsal.
Beliau juga sebelum ini pernah beraksi dalam kejohanan futsal di Jerman yang dikenali sebagai Ballers League.
Selain itu, faktor fizikal yang tegap dan kepantasan gerakan kakinya juga memberi kelebihan jika beliau beralih ke futsal.
Dengan daya juang, teknik serta kualiti penyudah terbaik yang dimiliki, Liridon boleh menjadi pemain yang sangat berharga dalam membentuk strategi permainan pasukan futsal negara.
Sekurang-kurangnya walaupun tidak bersama skuad bola sepak, Liridon masih mampu menyumbang sesuatu buat negara dalam sukan lain.
Secara keseluruhannya, Liridon Krasniqi mempunyai potensi untuk menguatkan pasukan futsal Malaysia, bukan sahaja kerana tekniknya yang luar biasa tetapi juga kerana pengalaman luas beliau dalam dunia bola sepak profesional.
Mungkin wajar untuk memberi peluang kepada beliau untuk menyertai pasukan futsal negara dan siapa tahu, Liridon boleh menjadi pemain yang membawa kejayaan besar kepada futsal Malaysia di masa depan.

Mungkin juga barisan kejurulatihan futsal negara yang diketuai Rakphol Sainetngam boleh memujuk beliau untuk mencuba nasib sebagai pemain kebangsaan.
Namun, apa-apapun ia hanya sekadar pendapat peribadi penulis dengan melihatkan kemampuan hebatnya ketika beraksi dalam sukan futsal dan bukannya paksaan serta wajib dilakukan oleh Liridon.
Malah, terdapat peminat juga berpendapat sedemikian tetapi semuanya terletak di tangan tuan empunya diri sama ada mahu terus bermain bola sepak atau sebaliknya.