Skuad futsal Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan Indonesia selepas kecundang 0-6 pada aksi persahabatan yang berlangsung di GOR Amongrogo, Yogyakarta sebentar tadi.

Berdepan lawan yang tampil cukup kemas daripada segenap aspek termasuk mendapat sokongan padu 7,000 penyokong, Malaysia jelas berdepan kesukaran sepanjang perlawanan ini.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan dengan jaringan pembukaan dicipta Firman Ardiansyah seawal minit keempat selepas beliau melakukan percubaan padu dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol, Syawal Sabaruddin.

Dua minit kemudian, Indonesia yang dibimbing Hector Souto melebarkan kedudukan menerusi jaringan Ardiansyah Runtuboy.

Tidak cukup dengan itu, Holypaul Septinus ‘Evan’ Soumilena meledakkan jaringan dari jarak jauh yang gagal diselamatkan Syawal untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit kesembilan.

Evan menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-20 hasil percubannya dalam kawasan D ketika beliau sudah hampir terjatuh.

Peledak berbisa yang pernah berkelana ke Portugal itu melengkapkan hatriknya pada minit ke-32 dan seminit kemudian, Samuel Amos Ronsumbre menutup pesta jaringan Indonesia untuk kemenangan 6-0.

Malaysia yang dibimbing Rakphol Sainetngam turut mencipta beberapa peluang terbaik tetapi dua penjaga gol Indonesia iaitu Muhammad Al-Bagir dan Ahmad Habiebie cukup kental bertahan menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Skuad futsal Malaysia akan terbang ke Thailand pada 23 Oktober untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang  Australia dan Myanmar dimana kedua-dua pasukan berada dalam kumpulan A bersama Indonesia.

Selepas itu saingan Kejuaraan Futsal AFF 2024 akan bermula 2 November di Nakhon Ratchasima.