Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil 9SNBJ) menjadi kerisauan peminat menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang mempertemukan dua pasukan iaitu Terengganu yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 8 Disember ini.
Baru-baru ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi keadaan padang menerusi laman media sosial miliknya yang menunjukkan padang masih belum berada di tahap memuaskan.
Good standard for the final of Malaysia cup. Looks like your formula is working @hansisaacactor pic.twitter.com/GFqPPBfaP2
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 4, 2023
“Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi,” tulis TMJ kepada Hans Isaac.
Peminat percaya kapsyen itu adalah sindiran TMJ yang tidak puas hati melihat keadaan padang tersebut rosak teruk dan kekurangan rumput di bahagian tengah dipercayai akibat ‘dihenyak’ oleh penganjuran konsert Coldplay beberapa minggu yang lalu.
Berbaki dua hari sebelum perlawanan akhir, kerja-kerja membaik pulih padang sedang dijalankan dan perkara ini dikongsikan oleh salah seorang pengguna Facebook iaitu SiniJa.
Dalam video di atas, ada beberapa bahagian padang yang bertampal dan boleh dilihat permukaan padang tidak rata sekaligus membangkitkan persoalan di kalangan peminat tentang bagaimana Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menjaga padang SNBJ.
PSM sebelum ini memberi jaminan keadaan padang akan kembali pulih selepas digunakan untuk konsert Coldplay dan dapat digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
“Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi kepada Bernama.
Padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu pernah dikritik hebat oleh ramai pihak apabila ada bahagian yang tercabut ketika aksi Harimau Malaya menentang India dan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung bulan lalu.
Namun, keadaan padang kembali ke tahap terbaik pada aksi pertama kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia mempamerkan kebangkitan sekaligus berjaya menumbangkan Krygyzstan 4-3.