Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu mendapat mandat rakyat, yang juga bekas bintang filem terkenal India, C. Joseph Vijay, membuat keputusan besar apabila mengarahkan penutupan 717 premis arak milik kerajaan negeri di bawah Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).
Arahan itu dikeluarkan hanya beberapa bulan selepas beliau mengambil alih tampuk pentadbiran negeri berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat selepas audit menyeluruh dijalankan terhadap ribuan premis arak di seluruh Tamil Nadu. Hasil semakan mendapati ratusan premis didakwa beroperasi terlalu hampir dengan kawasan sensitif awam seperti rumah ibadat, sekolah, institusi pendidikan dan terminal bas.
Rumah ibadat ini termasuk kuil dan masjid yang dianggap tempat suci untuk mereka yang menjalankan ibadat keagamaan masing masing.
Daripada jumlah keseluruhan premis yang diarahkan tutup, sebanyak 276 kedai dikenal pasti berada berhampiran rumah ibadat, manakala 186 lagi berada dekat sekolah serta institusi pendidikan. Sebanyak 255 premis lain pula didapati terletak berhampiran terminal bas dan kawasan tumpuan awam.
Penutupan itu perlu dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dan dilihat sebagai salah satu langkah paling berprofil tinggi oleh Talapathy Vijay sejak bergelar Ketua Menteri Tamil Nadu. Untuk rekod, Tamil Nadu mempunyai sekitar 4,765 kedai arak di bawah operasi TASMAC, menjadikan negeri itu antara pasaran penjualan alkohol terbesar di India.
Langkah tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Penyokong Vijay menyifatkan keputusan itu sebagai usaha mengutamakan kebajikan sosial serta mengurangkan kesan negatif penjualan alkohol terhadap komuniti setempat, khususnya di kawasan berhampiran sekolah dan rumah ibadat.
Vijay turut mengarahkan penguatkuasaan lebih tegas ke atas larangan penjualan arak kepada individu di bawah 21 tahun, termasuk mewajibkan setiap orang menunjukkan kad pengenalan mereka ketika membeli produk alkohol.
The Vijay government has strengthened restrictions on TASMAC liquor sales across Tamil Nadu. 🚫🍾
Under the new enforcement measures, the minimum legal drinking age of 21 will now be implemented more strictly, with mandatory ID verification for customers purchasing alcohol.… pic.twitter.com/jluWSqX25z
— Kalam Center (@KalamCenter) May 14, 2026
Bagaimanapun, ada pihak berpendapat keputusan itu mungkin memberi kesan terhadap hasil pendapatan kerajaan negeri memandangkan penjualan alkohol merupakan salah satu sumber pendapatan utama Tamil Nadu.
Sejak memasuki arena politik, Vijay sering dilihat membawa imej reformasi dan perubahan. Justeru, tindakan menutup ratusan premis arak ini dianggap sebagai petunjuk awal terhadap hala tuju pentadbiran beliau serta usaha memenuhi janji manifesto yang dibawa sebelum ini.
Vijay juga mementingkan perpaduan semua kaum yang berbeza agama di India. Vijay sudah melawat dan berjumpa dengan beberapa wakil masyarakat daripada agama yang berbeza.
Perkembangan ini kini menjadi antara topik hangat di India apabila ramai mahu melihat sama ada lebih banyak perubahan besar akan diumumkan oleh pentadbiran Vijay dalam tempoh terdekat.