Pengasas Berjaya Corp Bhd, Tan Sri Vincent Tan, telah menjual 5.25% pegangan dalam konglomerat yang merangkumi sektor loteri hingga automotif tersebut pada nilai RM79.56 juta.

Menurut makluman kepada bursa saham pada Isnin, syarikat persendirian milik Vincent Tan, Berjaya True Ascend Sdn Bhd, melupuskan 306 juta saham melalui urus niaga perniagaan terus pada 6 Mac. Blok saham tersebut dilupuskan pada harga 26 sen sesaham.

Baca Juga:

Identiti pembeli blok saham tersebut tidak didedahkan, petik The Edge Malaysia.

Susulan pelupusan tersebut, jumlah pegangan Tan dalam Berjaya menyusut kepada 1.23 bilion saham, atau kira-kira 21%. Beliau memegang 8.559% secara langsung, manakala 12.533% lagi melalui pelbagai entiti.

Saham Berjaya Corp ditutup tanpa perubahan pada harga 27 sen, yang memberikan nilai permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM1.61 bilion.