Bintang Real Madrid, Vinicius Jr menyalahkan jadual padat dihadapi hingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan otot yang memaksanya berehat dalam tempoh hampir tiga minggu.

Kecederaan tersebut sekali gus menyaksikan Vinicius terpaksa melupakan perlawanan penting menentang Liverpool dalam saingan European Champions League (UCL) pada 28 November ini.

Baca Juga:

Ia menambahkan lagi senarai pemain Real Madrid yang sedang mengalami kecederaan seperti Dani Carvajal (ACL), Eder Militao (ACL), Rodrygo (otot) dan Aurelien Tchouameni (buku lali).

Keadaan tersebut jelas sedikit merencatkan strategi Carlo Ancelotti dimana Real Madrid juga bergelut untuk beraksi baik dalam kempen UCL apabila sekadar menduduki tangga ke-18 selepas mengharungi empat perlawanan.

Menurut laman X peribadi miliknya, Vinicius memuatnaik ciapan yang berbunyi, ‘Kalendar (pertandingan) yang gila. Masa untuk pulih!’

Kecederaan dialami Vinicius mungkin ‘sedikit menggembirakan’ rakan sepasukannya iaitu Kylian Mbappe kerana beliau berkemungkinan akan beraksi di posisi kegemarannya, sayap kiri.

Manakala, Jude Bellingham pula akan dinaikkan ke atas untuk memainkan peranan ‘False Nine’ dimana ia biasa dilakukan Carlo Ancelotti pada musim lalu.

Selain perlawanan bertemu Liverpool, Vinicius Jr dijangka akan turut terlepas aksi menentang Getafe, Athletic Bilbao, Girona, Atalanta, Rayo Vallecano dan aksi final Intercontinental Cup yang dijadualkan berlangsung pada 19 Disember.

Real Madrid pada ketika ini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu LaLiga 2024/25, Barcelona tetapi Los Blancos memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Sumber