Pemenang Ballon d’Or 2024, Rodri atau nama penuhnya, Rodrigo Hernandez Cascante mengeluarkan kenyataan yang jelas menimbulkan kontroversi terhadap pesaingnya, Vinicius Jr.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Vinicius dan kem Real Madrid memboikot acara anjuran bersama UEFA dan Groupe Amaury itu kerana pemain tersebut gagal memenangi anugerah utama.
Baca Juga:
- Benzema Anggap Rodri Tak Layak Menang Ballon d’Or
- Rodri Tewaskan Vinicius Jr Untuk Rangkul Ballon d’Or
- Vinicius Junior Yakin Menang Anugerah Ballon d’Or 2024
Mengikut keputusan undian yang telah dikeluarkan tempoh hari, Rodri menewaskan Vinicius dengan kelebihan 41 undi manakala Jude Bellingham pula menduduki tempat ketiga.
Mengulas mengenai tindakan seolah-olah tiada semangat kesukanan itu, Rodri yang sedang dalam proses pemulihan kecederaan panjang berpendapat bahawa secara peribadinya, Vinicius hanya berada di kedudukan ketiga.
“Saya akan memilih Dani Carvajal di kedudukan kedua dan kemudiannya barulah Vinicius di tempat ketiga,” ujar Rodri menurut sumber laporan Goal.
“Saya tidak sakit hati kerana mereka tidak hadir. Ia adalah saat saya bersama keluarga dan perkara terakhir yang saya fikirkan ialah orang tidak hadir ke majlis gala itu.”
“Adakah saya menerima ucapan tahniah dari Madrid? Ada beberapa dari bekas pemain kelab ini seperti Nacho dan Joselu, serta dengan siapa saya berkongsi bilik persalinan (ketika bersama Sepanyol).”
“Saya tidak kisah Vinicius tidak mengucapkan tahniah kepada saya. Saya peduli dengan orang-orang di sekeliling saya, keluarga saya dan kelab saya.”
“Saya tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh Real Madrid dengan tidak hadir ke gala (sekiranya tidak memenangi anugerah), tetapi tidak ada gunanya untuk memikirkannya lagi.”
“Saya rasa agak terkejut apabila semasa penyampaian trofi, separuh daripada yang ada dalam bilik itu menjerit nama ‘Vinicius, Vinicius!”
“Bagaimanapun, saya rasa ada banyak rasa hormat terhadap saya dari penonton kerana selepas itu, mereka semua berdiri dan memberi tepukan kepada saya.”
“Ballon d’Or ini telah memberi penghargaan kepada konsistensi, yang merupakan perkara yang paling sukar dalam bola sepak. Saya bukan orang yang patut menentukan sama ada saya layak menerima anugerah ini atau tidak.”
“Pada 2023, saya rasa saya boleh memenanginya kerana musim yang hebat di City dan tahun ini saya rasa saya telah melakukan yang lebih baik lagi.”
“Memenanginya sedikit sebanyak mengubah hidup anda, ia adalah satu detik sebelum dan selepas. Saya telah menerima ucapan tahniah daripada ramai orang, salah seorang yang paling menggembirakan saya ialah [Andres] Iniesta, yang juga sepatutnya mempunyai Ballon d’Or dalam koleksinya kerana dia adalah pemain terbaik dalam sejarah negara kita,” tambah Rodri lagi.