Kapten Sepanyol, Rodri menggesa bintang muda, Lamine Yamal supaya mengawal ‘kegelisahan’ serta keghairahannya untuk membuktikan kemampuan menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 menentang Perancis.
Pemain tengah Manchester City itu percaya pemain sayap lincah itu kekal sebagai tonggak penting skuad La Roja, namun menegaskan Yamal perlu kembali tenang dan mengawal emosinya jika mahu mempamerkan prestasi terbaik.
Menjelang pertembungan sengit menentang Perancis, Rodri menekankan satu aspek yang perlu diperbaiki oleh bakat muda paling menyerlah Sepanyol itu.

Pemain tengah berusia 30 tahun itu berpendapat Yamal kadangkala bermain dengan terlalu tergesa-gesa dan seolah-olah terlalu bersemangat untuk membuktikan kemampuannya, sehingga sedikit sebanyak menjejaskan aksi semula jadinya di bahagian sayap.
Nasihat Berguna Rodri Buat Yamal
“Saya rasa dia perlu lebih bertenang sedikit. Kadangkala dia mempunyai keinginan yang terlalu tinggi untuk membuktikan dirinya,” kata Rodri menurut sumber laporan Goal.
“Dia adalah pemain yang sangat penting buat kami kerana apa yang dilakukannya sama ada ketika menguasai bola atau tanpa bola.”
“Dia juga seorang pemain yang sangat bijak. Memang benar usianya baru 19 tahun, jadi ada masanya kami perlu membantunya supaya kekal tenang sepanjang perlawanan.”
Dalam pada itu, walaupun dianggap sebagai tonggak pasukan, Rodri turut melihat Yamal masih mempunyai beberapa aspek taktikal yang perlu dipertingkatkan, tahap kematangannya telah meningkat dengan ketara sejak membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024.

“Saya rasa dia sudah menunjukkan kematangannya sejak Euro lagi. Kini, dua tahun kemudian, orang ramai mungkin tidak lagi terlalu terkejut dengan apa yang mampu dilakukannya pada usia sebegitu. Dia seorang pemain muda yang sangat matang.”
“Sudah tentu masih ada ruang untuk dia memperbaiki cara membaca permainan, dan itu adalah perkara biasa bagi pemain seusianya. Namun, kami semua sudah tahu tahap sebenar kemampuannya.”
“Saya sentiasa mengingatkannya supaya terus bermain dan tidak berhenti hanya kerana dia tidak mendapat sepakan percuma. Dia seorang pemain muda yang sentiasa mendengar nasihat, mahu belajar, dan yang paling penting, menunjukkan contoh yang sangat baik menerusi sikapnya,” tambah Rodri lagi.