Salam Ramadhan kepada semua pembaca The Vocket!
Bagaimana dengan Ramadhan anda? Kami doakan anda sihat sentiasa dan berkejar-kejaran membuat amalan dibulan yang penuh barakah ini.
Untuk post pada bulan puasa ini, Vocket Makan akan bawakan kepada anda juadah berbuka puasa yang menarik yang terdapat di bazar-bazar Ramadhan yang dikunjungi oleh penulis.
Tanpa buang masa lagi, jom lihat menu berbuka apa yang kami bawakan khas untuk anda.
BACA: Vocket Makan… Kebab Station, Stesen LRT Universiti
Kali ini kami singgah di bazar Ramadhan Yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Bazar ini bersebelahan dengan Aeon Big dan Masjid Bandar Tun Hussein Onn.
Sewaktu kami sampai pada pukul 5 petang, jalan sudah sesak dan dipenuhi dengan pengunjung yang tercari-cari juadah apa yang ingin dibawa pulang untuk berbuka bersama keluarga.
Kami tertarik dengan satu gerai yang menjual air ini. Bagi kami menu air ini antara yang paling ‘rare‘ pernah kami jumpa. Gerai ini menjual air kelapa laut dan air kelapa nipah.
Air kelapa laut kami pernah minum, tapi air kelapa nipah belum pernah kami cuba. Buahnya juga kami tidak pernah lihat sebelum ini. Menurut pemilik gerai, buah ini didatangkan khas dari Melaka.
Disebabkan air ini ‘rare‘ dan sukar dijumpai, kami beli satu bungkus untuk dibawa pulang. Satu bungkus berharga RM5.00. Harga dia boleh tahan mahal mungkin disebabkan kesukaran untuk mendapatkannya.
Air dah dapat. Sekarang kami mencari makanan pula.
BACA: Vocket Makan… Nasi Kerabu Ketam Cholley, Taman Bukit Kajang
Tak jauh dari gerai air kelapa nipah tadi, kami ternampak satu gerai yang dikerumuni ramai orang. Disebabkan ingin tahu, kami pergi ke gerai tersebut.
Gerai yang ramai orang ini adalah sebuah gerai yang menjual Roti John. Nama gerai ini adalah VIP Roti John. Menu biasa yang ada adalah Roti John ayam dan daging. Menu paling special sekali ialah Roti John Daging Special Black Pepper yang berharga RM6.00 dan kami beli yang ini.
Selesai membeli di bazar Ramadhan maka kami pulang ke rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Tiba waktu berbuka, selepas menjamah buah kurma, kami cuba roti john yang dibeli tadi.
Bau dia memang mengangkat selera. Portion dia memang besar dan banyak. Roti yang lembut digoreng dan disalut dengan telur. Rasa lada hitam melekat di telur tersebut. Isi roti john penuh dengan daging cincang, salad, serta curahan mayonis dan sos. Memang sedap rasanya.
Selesai makan, kami minum air kelapa nipah pula. Air yang disediakan oleh gerai tadi telah dicampurkan dengan air gula, jadi keasliannya mungkin telah hilang sedikit. Rasanya boleh dikatakan hampir sama dengan air kelapa laut, cuma dari segi warnanya sahaja yang berbeza. Air kelapa laut bewarna hitam dan air kelapa nipah ini pula berwarna perang.
Puas hati kami menikmati juadah berbuka kali ini. Kalau anda teringin untuk menikmati juadah berbuka puasa begini, silalah datang ke bazar Ramadhan Bandar Tun Hussein Onn. (waze)
BACA: Vocket makan… Nasi Kandar Melayu Apollo di Seksyen 9, Bangi
BACA juga: Jom Makan: Aplikasi Bantu Cari Tempat Makan Di Malaysia