Billie Joe Armstrong, vokalis utama kumpulan punk rock legenda Amerika Syarikat, Green Day, sekali lagi menunjukkan sokongan padu terhadap rakyat Palestin dengan mengibarkan bendera Palestin semasa konsert mereka di Malaysia malam tadi.

Ini merupakan sebahagian daripada siri tindakan Green Day menyokong Palestin yang sedang berdepan dengan konflik berterusan di bawah tekanan Israel.

Sokongan Green Day Pada Palestin Tular Di Instagram

Menurut rakaman yang tular di laman Instagram, semasa persembahan tengah berlangsung, seorang penonton menghulurkan bendera Palestin kepada Armstrong.

Green Day

Tanpa ragu-ragu, vokalis yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-53 tahun pada 17 Februari itu mengibarkan bendera tersebut tinggi-tinggi sebelum melilitkannya di bahu sambil meneruskan persembahan.

Adegan ini mencetuskan sorakan gemuruh daripada ribuan peminat yang hadir.

Ini bukan kali pertama Green Day menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin.

Sepanjang jelajah dunia mereka kali ini, kumpulan itu telah beberapa kali mengibarkan bendera Palestin di pelbagai konsert, menyampaikan mesej jelas bahawa mereka berdiri bersama rakyat Palestin dalam menentang ketidakadilan.

Green Day

Green Day memang terkenal dengan aktivisme politik mereka yang lantang.

Sejak era 90-an, mereka menggunakan muzik dan platform konsert untuk mengkritik peperangan, ketidakadilan sosial, dan politik sayap kanan.

Album ikonik mereka pada 2004, American Idiot, merupakan sindiran keras terhadap pentadbiran George W. Bush.

Malah, pada 2016, mereka pernah menyanyikan lagu protes dengan lirik “No Trump, No KKK, No Fascist USA” sebagai tanda penentangan terhadap dasar-dasar mantan Presiden AS, Donald Trump.

Malaysia dan Sokongan Kukuh terhadap Palestin

Tindakan Green Day ini selari dengan pendirian Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Sejak sekian lama, Malaysia telah menjadi antara negara paling lantang memperjuangkan hak Palestin di peringkat antarabangsa.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan kerap mengutuk tindakan ketenteraan Israel yang dianggap sebagai pencerobohan ke atas wilayah Palestin.

Green Day

Malaysia juga aktif menyuarakan isu Palestin di forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyeru komuniti global untuk menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin juga begitu kukuh, dengan pelbagai kempen dan inisiatif dianjurkan untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik.