Volkswagen (VW), jenama automotif ikonik dari Jerman kini sedang berhadapan dengan fasa yang penuh cabaran antara buang pekerja, kurangkan kos atau berdepan ancaman muflis, lapor Mish Talk.
Di tengah pergolakan dalaman, VW turut mengalami penurunan penjualan yang ketara di beberapa negara.
Satu ketika dulu, jenama ini pernah menjadi simbol kebangkitan ekonomi Jerman dan ikon mobil rakyat, namun kini syarikat itu sedang berjuang untuk kekal relevan ditengah-tengah persaingan dan perubahan landskap ekonomi automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Group, Oliver Blume, baru-baru ini menyatakan bahawa syarikat tersebut akan mengambil langkah penyusunan semula secara drastik.
Blume mengaku VW sedang berhadapan dengan tempoh sukar yang semakin meruncing di Eropah.
“Lingkungan ekonomi menjadi lebih sukar, dan pesaing baru mula masuk pasaran Eropah. Selain itu, Jerman sebagai lokasi manufaktur juga semakin tertinggal dalam hal daya saing,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Langkah penyusunan semula ini mungkin melibatkan penutupan beberapa kilang produksi.
Ini bukan kali pertama VW menghadapi saat-saat mencabar, namun kali ini mereka harus berdepan dengan persaingan baru yang lebih agresif serta peningkatan kos pembuatan di Jerman.
Keadaan ini amat berbeza dengan zaman kegemilangan VW apabila jenama ini pernah menjadi salah satu kereta paling laris di dunia.
Malah, ia juga dikenali sebagai “kereta rakyat” di banyak negara dengan model popular seperti VW Beetle.
Sejarah panjang VW tidak boleh dipisahkan daripada idea asal yang dicetuskan oleh Adolf Hitler pada tahun 1930-an, lapor DW.
Hitler membayangkan sebuah mobil yang murah, tahan lama, dan boleh dimiliki oleh rakyat biasa.
Inilah asas terbinanya Volkswagen, yang bermaksud “mobil rakyat” dalam bahasa Jerman.
Namun, Perang Dunia II mengubah segalanya buat VW apabila banyak operasinya terganggu akibat perang dan hampir sahaja jenama ini dihapuskan akibat kekalahan Jerman.
Bagaimanapun seorang warga Inggeris bernama Ivan Hirst berjaya menyelamatkan kilang tersebut dan memastikan projek mobil rakyat ini terus berjalan.
Pada tahun 1949, VW Beetle mula diperkenalkan secara meluas kepada awam, dan ia terus menjadi simbol kemodenan Jerman yang baru sahaja pulih daripada perang.
Selama berdekad-dekad, VW terus berkembang dengan memperkenalkan pelbagai model baharu yang diterima baik oleh pasaran global.
Pada tahun 2016, Volkswagen berjaya memintas Toyota sebagai pengeluar kereta terlaris di dunia.
Namun, seperti roda yang berputar, VW kini kembali berdepan dengan cabaran besar dan perubahan pasaran dunia yang kini mula beralih kepada kenderaan elektrik.
Semuanya kini di tangan Volkswagen, antara pilih untuk pecat pekerja, kurangkan kos atau berdepan ancaman muflis.