Walaupun Ringgit Malaysia kini melonjak ke paras paling kuat berbanding Dolar Singapura dalam tempoh lebih setahun, pelawat dari Singapura menegaskan ia sama sekali tidak menghalang mereka daripada meneruskan rutin ‘menyerbu’ Causeway atau istilah lainnya merentas ke tambak Johor.

“Bagi saya, tak jadi masalah pun sebab aku bukannya berbelanja banyak kat sini,” kata Edmund Lee, seorang pekerja kewangan Singapura yang selalu berulang-alik ke Johor Bahru setiap beberapa minggu untuk beli barang dapur dan makan-makan.

Sama seperti orang lain, dia merasakan tawaran “berbaloi dengan wang” di Malaysia masih lagi tidak terjejas, menurut laporan Channel News Asia dipetik dari Malay Mail.

Pasaran pelancongan yang kuat dan stabil (terutamanya dari Singapura) bertindak sebagai ‘pelindung’ penting bagi ekonomi Malaysia.

Hal ini kerana membantu mengimbangi masalah-masalah ekonomi yang timbul akibat nilai Ringgit Malaysia yang tiba-tiba menjadi kuat semula.

Pengukuhan ini telah mewujudkan perbezaan ketara antara pihak domestik yang mendapat manfaat dengan pengeksport yang sedang bergelut.

Kenaikan nilai ringgit telah menjadi sesuatu yang ketara. Selepas menjunam ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun berbanding dolar AS pada Februari 2024, mata wang ini telah kembali mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh setahun.

Berbanding dengan dolar Singapura (SGD), ringgit telah meningkat daripada sekitar RM3.50 pada Januari 2024 kepada RM3.19 pada minggu ini.

Walaupun Ringgit mengukuh, perniagaan di Johor Bahru yang bergantung kepada pelanggan dari Singapura (seperti kedai cuci kereta dan hotel) tidak mengalami penurunan jumlah pelanggan.

“Permintaan daripada Singapura terus kukuh,” sah Ivan Teo, pengerusi Persatuan Hotel Malaysia cawangan Johor.

Walaupun Ringgit mengukuh, aliran masuk pelawat Singapura yang mempunyai kuasa beli tinggi bertindak sebagai penyelamat kepada sektor pelancongan Johor, yang dijangka merosot 25% dari pasaran sensitif mata wang lain seperti Indonesia dan Thailand.

Pengukuhan Ringgit memberi manfaat jelas di dalam negara, di mana pengimport mendapat kos bahan mentah yang lebih rendah (membolehkan peningkatan kualiti) dan pengguna tempatan menikmati kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, keadaan ini menyukarkan pengeksport perabot dan sarung tangan, yang kini menghadapi ‘kesan dua kali ganda’ apabila mata wang yang kuat menjadikan produk mereka lebih mahal untuk pembeli luar negara, ditambah pula dengan tarif AS sedia ada.

Penganalisis berpendapat kekuatan Ringgit ini didorong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan kejayaan pembaharuan fiskal kerajaan Malaysia.