Walt Disney Co dan Twenty-First Century Fox Inc semalam menolak tuntutan saman Genting Malaysia Berhad yang mendakwa dua syarikat gergasi itu melanggar kontrak pembinaan taman tema dengan jenama Fox.
Sebelum ini, Genting Malaysia Berhad memfailkan saman bernilai lebih USD1 bilion (~RM4.19 bilion) disebabkan ‘penyesalan penjual’ yang memaksa Fox melanggar kontrak yang dipersetujui pada 2013 dengan bantuan Disney. Berikutan itu, saham Genting merudum sebanyak 16.7% sehari selepas tuntutan saman dilakukan.
Genting mendakwa dan menyalahkan Fox atas penangguhan beberapa tahun dan berkata, Disney yang membeli kebanyakan aset Fox bernilai AS$71.3 bilion (RM299 bilion) mahu menarik diri kerana kerjasama dengan syarikat perjudian tidak menepati strategi jenama ‘mesra keluarga’ milik mereka. Justeru itu, Fox mengeluarkan notis tindakan yang selari dengan hasrat Disney untuk membatalkan perjanjian itu.
Akan tetapi, Walt Disney Co dan Twenty First Century menyatakan bahawa tuntutan Genting Malaysia Bhd terhadap mereka dibuat tanpa merit. Malah, tuduhan yang dilemparkan bahawa Disney mengisytiharkan notis hanya merupakan satu rekaan.
Apa agaknya kesudahan taman tema Fox di Genting Highlands nanti? Jika Fox dan Disney berkeras untuk tidak meneruskan pembinaan taman tema ini, Genting pastinya akan rugi dan perlu membina taman tema dengan konsep yang berbeza.