Genting Malaysia Berhad semalam telah mengemukakan saman terhadap Twenty-First Century Fox Inc dan Walt Disney atas dakwaan perlanggaran kontrak pembinaan taman tema dengan jenama Fox.
Fox dan Disney dikenakan saman bernilai lebih USD1 bilion (±RM4.19 bilion) disebabkan ‘penyesalan penjual’ memaksa Fox melanggar kontrak yang dipersetujui pada 2013 dengan bantuan Disney. Perjanjian tersebut memberikan lesen kepada Fox World untuk membina kompleks tambahan pada Resort World Genting.
Menurut perjanjian pada tahun 2013, 20th Century Fox World di Genting akan menjadi taman tema rasmi pertama studio berkenaan. Taman tema ini bakal menampilkan replika dunia daripada filem-filem di bawah Fox antaranya Ice Age, Rio dan Planet Of The Apes. Tetapi disebabkan gabungan yang berlaku antara Disney dan Fox, taman tema ini dibiarkan ‘tergantung’.
Menurut kenyataan pihak Genting, Fox mula merancang penangguhan untuk beberapa tahun yang menyebabkan kontrak tersebut terpaksa dirunding semula. Difahamkan Disney membuat keputusan untuk menamatkan kontrak tersebut kerana kerjasama dengan syarikat perjudian tidak menepati konsep ‘mesra keluarga’ jenama tersebut.
Saman difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles apabila Disney sedang bersedia memeterai pembelian aset Fox bernilai lebih USD71 billion (±RM297 billion) yang dijadualkan selesai menjelang suku tahun pertama 2019. Pihak Disney dan Fox setakat ini enggan mengulas apa-apa mengenai isu ini.