Cantik dan pandai, itulah kata kata yang boleh disebut buat Wani Kayrie yang membolot Anugerah Dekan baru baru ini.

Wani Kayrie berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Perdagangan dalam Majlis Konvokesyen ke-33 Management and Science University (MSU) yang berlangsung di Shah Alam.

Wani Kayrie dengan cemerlang berjaya mendapat Anugerah Dekan selepas meraih CGPA 3.54.

Wani Kayrie Dapat Anugerah Dekan Dalam Bidang Undang-Undang Dan Perdagangan

Bercakap kepada Harian Metro, Wani Kayrie memanjatkan kesyukuran dan mahu melanjutkan lagi pengajian ke ijazah yang seterusnya.

Dia mahu terus mendalami ilmu perundangan. Dia membayangkan dia akan fokus tentang perundangan melibatkan kontrak serta yang berkaitan dengan dunia artis. Sesuai dengan kerjayanya.

Di ruangan IG, Wani menulis: “Terima kasih tak terhingga kepada MSU Malaysia, Yayasan MSU, @miskiahtijan @nor_hy di atas kepercayaan dari saya foundation sehingga ke garisan penamat.

“Walau pelbagai rintangan dan cabaran yang dihadapi selama 4 tahun, saya bersyukur ditemukan dengan ramai insan baik hati yang menjadikan saya berjaya menamatkan pengajian dengan lancar.

“Terima kasih juga semua pensyarah yang sangat memahami komitmen kerja saya sebagai seorang anak seni dan juga pelajar sepenuh masa.

“I truly appreciate every single person that involves in my success today. Tidak lupa, rakan sekelas yang pernah bekerja dalam satu kumpulan. You guys are the best.

“Semoga ini menjadi inspirasi kepada anak muda dan penggiat seni yang lain untuk tidak putus asa mengejar mimpi seiring dengan ilmu yang tidak akan putus sampai bila-bila. Percaya pada diri sendiri.”

Walaubagaimanapun, Wani Kayrie masih perlu mempertimbangkan bila dia akan melanjutkan pelajaran kerana ada komitmen dengan syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.

Syarikat rakaman tersebut sedang merancang untuk mengeluarkan album EP untuk Wani Kayrie. Namun mereka masih dalam proses meneliti pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam album tersebut.

Wani menambah: “Perancangannya kami nak keluarkan album EP dan lagu-lagu pun dah ada. Cuma belum teliti lagu yang sesuai untuk dimasukkan.

“Lagipun, saya dah agak lama berkarya di dalam industri muzik dan kerap keluarkan single. Saya rasa, dah tiba masanya saya fikirkan untuk album pula.”