Semakin menjejak alam dewasa, tanpa kita sedari banyak maklumat peribadi sensitif berpotensi terdedah kepada bahaya.
Ini termasuklah berkongsi maklumat perbankan, salinan kad pengenalan untuk urusan seharian.
Seorang wanita tempatan yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada majikan ini tidak menyangka akan pada suatu hari nanti bakal memusnahkan masa depan kewangannya.
Bertahun-tahun kemudian, dia kini berdepan dengan bebanan hutang RM250,000, dituduh mengambil pinjaman yang tidak pernah dipohonnya.
@faaaaarrrl Selagi kau tak tunjukkan diri kau selagi tu aku takkan putus2 viralkan kau..kau masih boleh bukak kedai..meniaga macam tak ada masalah..yelah bukan kau yang nak kena tangung beban ni..seumur hidup aku nak kena tangung HUTANG yang aku tak buat..musnah impian aku untuk anak aku..aku bergantung hidup dengan family aku..sepatutnya aku yang tangung keluarga aku..balas jasa parents aku..tapi disebabkan kau ..family aku nak kena bersusah payah..Demi Allah..setiap sujud aku pada Allah aku doakan kau dapat balasan yang setimpal dgn apa yg aku lalui..Allah maha Adil..setiap kali aku berdoa hujan turun lebat..betapa mustajabnya doa org teraniaya..doa saat hujan tak ada hijabnya.. #majikanscammer #manusiakejam #viral #fypシ #ZacMajikanScammer #mddfighter #spedazone #anxietydisorder
Mimpi ngeri itu bermula dengan sepucuk surat.
Ketika dia sedang menjalani kehidupan seperti biasa, dia terkejut menerima writ saman yang menuntutnya untuk membayar balik pinjaman bank yang sangat besar.

Dalam keadaan keliru, dia cuba mengingati kembali jika pernah menandatangani apa-apa dokumen. Namun jauh di sudut hati, dia tahu dia tidak pernah berbuat demikian.
Bila diselidik dengan lebih terperinci, dia berjaya menemui dalang disebalik hutang yang besar itu adalah bukanlah orang asing tetapi orang terdekat di pejabat iaitu bekas majikannya.
Menurut video TikToknya tular, pengkhianatan itu berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana banyak proses pentadbiran beralih ke dalam talian.
Ketika itu, dia masih bekerja untuk syarikat tersebut dan langsung tidak tahu namanya telah digunakan dalam skim yang lebih besar.
Dia mendakwa bekas majikannya telah mendaftarkan namanya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai rakan kongsi perniagaan. Kemudian, bekas majikan itu secara senyap mengeluarkan namanya sendiri, meninggalkan dia sebagai pemilik tunggal di atas kertas tanpa pengetahuannya.
Memandangkan ia berlaku semasa PKP, bekas majikan itu didakwa menguruskan semua dokumentasi dalam talian dan menggunakan identitinya untuk memohon pinjaman perniagaan
Dia hanya mengetahuinya selepas diserahkan dokumen guaman.
“Ini berlaku masa PKP. Dia yang uruskan semuanya. Saya tak tahu langsung pasal pinjaman tu sampailah satu hari saya dapat writ saman kat rumah sebab tak bayar balik,” kongsinya dalam video tersebut.
Bertekad mendapatkan jawapan, wanita itu dan keluarganya memutuskan untuk bersemuka dengannya.
Dalam sebuah video tular, kumpulan itu dilihat menghampiri lelaki tersebut.
Namun menurut wanita itu, bukannya menyelesaikan isu tersebut, dia cuba melarikan diri.
Sejak itu, lelaki tersebut dilaporkan gagal dikesan. Namun entah bagaimana, dia masih mengendalikan perniagaannya seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Dia mendedahkan bahawa dia kini telah menerima notis bankrap, dan keadaan semakin kritikal. Dalam sebuah hantaran Facebook, dia berkongsi bahawa akaun banknya telah dibekukan, menyebabkan dia tidak dapat mengeluarkan wang, malah untuk perbelanjaan asas keluarga atau nafkah anak.

Sudahlah dibebani dengan hutang yang besar, kini dia juga mendedahkan mempunyai masalah emosi terganggu yang serius sehingga perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatri kongsinya di akaun FB.