Seorang wanita yang menghidap penyakit barah payudara trauma selepas menjadi mangsa gangguan seksual majikan yang juga bergelar ‘ayahanda’ di kawasan Selangor.

Memetik Harian Metro, wanita dikenali Ana, berusia 49 itu mengenali lelaki yang berusia 70-an apabila pernah bekerja di syarikat membekal buruh asing milik lelaki itu pada 2021 namun meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan dialami anaknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ana menyatakan majikan itu memang sudah dikenali dalam kalangan pekerja dengan sifatnya yang ‘gatal’ kerana sering bercakap perihal lucah namun ia dianggap sebagai ‘gurauan orang tua’.

Menurut Ana, dia mula bekerja semula dengan lelaki itu tetapi sebagai setiausaha di sebuah persatuan Islam dan dia sebagai pengerusi.

“Saya mulanya berasakan lelaki itu tidak berani membuat perkara bukan-bukan atas nama persatuan. Malangnya tabiat miang lelaki itu masih sama, dia cuba pegang tangan, dagu dan bahagian belakang namun saya sering menjauhkan diri dan mengelak daripada berada berdua di pejabat.

“Namun sekitar Mei, lelaki itu lebih agresif dan bertindak meraba payudara saya daripada belakang ketika di pejabat,” katanya kepada Harian Metro.

Selepas insiden itu berlaku, Ana lantas membuat laporan polis malah meminta rakan sekerja yang juga didakwa sering diserang secara seksual oleh suspek untuk melaporkan perkara itu.

Walaupun pada mulanya dia berasa takut untuk membuat laporan namun atas sokongan rakan dan ahli persatuan lain dia memberanikan diri untuk tampil.

Bagaimanapun rata-rata rakan sekerja Ana enggan membuat laporan kerana menganggap lelaki itu seperti ‘bapa-bapa’ atau ‘datuk-datuk’. Malah ada yang menganggap perbuatannya itu tidak lebih daripada gurauan.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia) Datuk Norashikin Abd Ghani berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan berhubung gangguan seksual melibatkan ayahanda-ayahanda.

“Mereka ini bukan sahaja memegang jawatan sebagai ketua organisasi tetapi juga membawa imej pertubuhan diwakili yang berteraskan agama Islam. Tidak sepatutnya perkara sebegitu berlaku.

“Justeru, mana-mana wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual kepada ayahanda-ayahanda ini diminta tampil membuat aduan dan laporan supaya pelakunya boleh diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sumber