Hasrat seorang wanita warga Indonesia untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Singapore Management University (SMU) menjadi tumpuan ramai di media sosial.
Evelyn Clarissa Siregar, 28, yang dijadualkan memulakan pengajian pada Januari 2027, mengambil pendekatan berani dengan mencari penaja menerusi platform Instagram dan Threads bagi menampung kos pengajiannya.
Beliau yang tidak mampu membalas sumbangan tersebut dalam bentuk wang tunai menawarkan pengalaman serta kemahirannya dalam bidang jualan dan pembuatan kandungan sebagai pertukaran.
Walaupun menerima diskaun ASEAN sebanyak S$3,000 (kira-kira RM9,560), jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan yuran pengajian yang mencecah S$82,840 (kira-kira RM264,000). Evelyn yang berlatarbelakangkan bidang farmasi dan kini bekerja dalam sektor jualan teknologi menyifatkan tajaan ini sebagai bentuk pelaburan terhadap potensi dirinya.
Kempen Tajaan Yang Mengundang Kecaman
Perkongsian tersebut dengan pantas mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Walaupun menerima sokongan daripada segelintir pihak, tidak kurang juga yang melemparkan kritikan pedas dengan menggelarnya sebagai individu yang berasa serba berhak.
Sebahagian netizen turut mempertikaikan gaya hidupnya berdasarkan perkongsian video percutian di akaun peribadinya, selain menyarankan agar beliau memohon pinjaman pelajar atau bekerja terlebih dahulu untuk mengumpul tabungan.
Menjawab kritikan awal daripada netizen, Evelyn tampil mempertahankan tindakannya.
“Panggil saya berhak jika anda mahu, tetapi saya cuma seorang gadis yang mengetuk setiap pintu demi memperjuangkan impian saya,” katanya.
Ketika dihubungi portal berita MothershipSG, Evelyn menjelaskan bahawa permohonan tersebut bukanlah bentuk meminta hadiah percuma, sebaliknya merupakan tawaran pertukaran nilai dan peluang kerjasama bersama bakal penaja.
Permohonan Maaf Dan Penjelasan Visi
Empat hari selepas hantaran pertamanya tular, Evelyn memuat naik kenyataan susulan untuk memohon maaf atas cara penyampaiannya.
Beliau mengakui bahawa reaksi defensifnya serta tindakan menyatakan jumlah dana secara terbuka telah memberi tanggapan yang kurang menyenangkan, sekali gus seolah-olah meremehkan perjuangan orang lain yang turut berusaha keras demi menuntut ilmu.
Menerusi penjelasan terbaharu itu, Evelyn mendedahkan visinya untuk menjadi perantara antara penyelidik, pelabur, dan pihak industri di Asia Tenggara.
Menurutnya, Singapura merupakan lokasi terbaik untuk beliau mempelajari ekosistem perniagaan demi memajukan sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) di rantau ini.
Walaupun masih menerima jawapan sinis mengenai rancangan kewangannya, Evelyn menegaskan bahawa pengajian di SMU ini adalah percubaan terakhirnya selepas melalui pelbagai kegagalan dalam permohonan biasiswa sebelum ini.