Lipat baju atau kain sebenarnya adalah tugas berat yang wajib dilakukan, kalau tidak baju bertimbun jadi gunung.

Tapi bagaimana kalau lipat baju ini dilakukan sebagai sebuah perniagaan yang memberi keuntungan yang besar?

Dalam satu catatan tular di X (dahulunya Twitter) baru-baru ini seorang netizen mendedahkan kepada orang ramai bagaimana untuk memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan hanya melipat baju.

@TemahUluBanat, berkongsi sebuah gambar dengan komen seorang netizen yang berkongsi bagaimana dia menghasilkan pendapatan lumayan.

“Business lipat kain. Suka komen bawah tu. Ramai boleh basuh baju, tapi tak semua orang boleh lipat kain. Haha. Patut buka sebelah dobi layan diri,” katanya.

Gambar komen tersebut menunjukkan seorang wanita yang menerangkan bagaimana dia berjaya memperoleh antara RM500 hingga RM700 dengan melipat pakaian hanya tiga kali seminggu.

Apa yang buat orang ramai lagi terkejut apabila wanita tersebut mendedahkan bahawa ejen mereka memperoleh lebih daripada RM7,000 dalam hanya satu bulan.

Perkongsian ini berjaya menarik perhatian ramai rakyat Malaysia.

Seorang netizen turut meninggalkan komen sambil bercerita bagaimana mereka mengambil upah melipat baju semasa zaman belajar di spa, hotel dan salun.

Menurut netizen, kerja sampingan yang dilakukan itu membantu mereka membiayai percutian 3 hari ke Hatyai.

Idea menjana wang dengan melipat baju mungkin kedengaran pelik pada mulanya, tetapi apabila difikirkan, ia masuk akal disebabkan rutin seharian kita yang sibuk dengan kerja kadang-kadang kita lupa nak lipat baju sendiri.

Bila ada masalah dan ada penyelesaian, di situlah bermulanya sebuah perniagaan perkhidmatan melipat baju.

Perkhidmatan yang nampak mudah ini sebenarnya mampu menjimatkan masa buat mereka yang sibuk bekerja.