Wanita yang tular membakar motosikal sebelum ini kerana bengang motosikal itu mahu ditarik akui kesal dengan perbuatannya.

Wanita yang berusia 43 tahun itu seorang peniaga. Bertindak agresif membakar motosikalnya. Dan dia berdepan pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah motosikal di Pokok Assam.

Dalam kenyataannya di hadapan mahkamah sesyen semalam, tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin berkata: “Saya mengaku bersalah. Saya menyesal, Yang Arif.”

Minggu lalu tular video di mana seorang wanita membakar motosikal Honda RSX berwarna hitam. Motosikal itu bernilai RM7,000 milik Zainatul Shakira Amira Zaini.

Dia tidak membayar motosikal itu selama 20 bulan. Tindakan itu telah dirakam oleh seorang individu yang dipercayai penarik kenderaan yang dilantik oleh pihak bank.

Wanita tersebut enggan memberikan kerjasama telah menyimbah petrol dekat motosikal tersebut.

Dia kemudian menyalakan api dan membakar motosikal Honda RSX itu kerana berang motosikalnya mahu ditarik kerana tak bayar ‘loan’.

Pihak penarik kenderaan tidak dapat berbuat apa apa selain daripada hanya melihat tindakan wanita tersebut yang mengejutkan mereka.

Kini dia berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, Zainatul boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.

Berita Harian melaporkan bahawa tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun memohon agar ikat jamin bernilai RM20,000 dengan seorang penjamin ditawarkan mahkamah, dapat dikurangkan.

Ini kerana tertuduh adalah peniaga pisang goreng dan apam balik yang memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan menyara empat anak, manakala suami tertuduh mengalami strok sebelah badan.

Wei juga menyatakan anak guamannya sedia mematuhi syarat tambahan dan tiada risiko untuk melarikan diri. Lagipun ini merupakan kesalahan pertama dibuat oleh Zainatul.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan.