Artikel ini adalah perkongsian daripada Puan Ainon Abdullah yang menceritakan pengalamannya bersama dua anaknya -Adam dan Awwab menjalani proses pembelajaran dari rumah di United Kingdom.
Seronok tengok ibu-bapa kongsikan gambar dan kisah anak-anak belajar secara maya dari rumah.
Mai saya nak kogsikan juga pengalaman pembelajaran ini di sekolah anak saya, mungkin juga hampir sama di sekolah-sekolah rendah lain di United Kingdom (UK).
Sekolah di sini guna Microsoft Teams sebagai platform. Setiap pelajar diberi nama pengguna serta kata laluan masing-masing dan diletakkan berkumpulan mengikut tahun.
Ada panduan untuk log masuk di laman sesawang sekolah. Kalau masih mempunyai masalah dan persoalan, ibu-bapa boleh e-mel sekolah, nanti kerani sekolah bantu.
Kesemua video mengajar dan tugasan dimuatnaik di situ. Setiap hari ada dua hingga tiga video mengajar yang baru. Video-video ini disediakan oleh kerajaan untuk sekolah-sekolah guna.
Di hujung video akan diberi tugasan kerja rumah untuk disiapkan. Adam akan taip kerja rumah dalam Microsoft Word dan hantar. Dia buat sendiri. Awwab pula akan tulis kerja rumah atas kertas untuk saya ambil gambar, kepilkan dan hantarkan.
Untuk subjek Matematik dan Sains, cikgu kepilkan pautan kuiz daripada aplikasi EdShed di hujung video utk pelajar-pelajar buat.
Adam bangun pagi sebelum sarapan terus buka video-video dan buat semua tugasan. Kadang-kadang sebelum pukul 10 dia dah siap buat semuanya, kemudian baru sarapan.
Mungkin sebab tahun 6, tahun terakhir sekolah rendah, tak banyak pelajaran baru. Lebih kepada ulang kaji, jadi tak banyak mengajar.
Setiap hari ada setengah jam perjumpaan menggunakan Zoom. Dua kali, pagi dan petang untuk pelajar bertanya soalan tentang pelajaran hari tersebut sekiranya ada. Kehadiran tak wajib.
Adam tanya sekali saja.
“Bolehkah saya melakukan perkara lain selepas menyiapkan semua tugasan kerja rumah?”
“Sudah pasti,” jawab cikgunya.
Apalagi, semangatlah dia siapkan kerja awal supaya boleh tengok YouTube dan buat apa yang dia nak. Jadi dia tak sertai pun perjumpaan harian di Zoom sbb tiada soalan nak tanya.
Awwab pula perjumpaan Zoom bersama gurunya di sebelah pagi. Cikgu akan ringkaskan pelajaran semalam.
Sebelah petang untuk pertanyaan, kehadiran tak wajib.
Perjumpaan menggunakan Zoom pun teratur, cikgu saja yang bercakap.
Kalau murid-murid ada soalan, mereka angkat tangan dan tunggu sampai cikgu sebut nama, hidupkan mikrofon kemudian baru bercakap.
Cikgu akan beri maklum balas kerja-kerja yang pelajar hantar. Kalau tak bagus, cikgu minta pelajar tonton semula video buat semula kuiz atau tugasan yang diberikan.
Tugas sebagai seorang ibu
Tugas saya untuk pastikan mereka siapkan tugasan kerja rumah. Saya cuma tanya “Adam dah hantar kerja rumah?”
Untuk Awwab saya tanya mana yang perlu hantar. Kemudian semak dalam Microsoft Teams untuk pastikan dah betul-betul hantar dan semak maklum balas dari guru.
Tak ada lah sampai sama-sama kena buat kerja rumah mereka berdua.
Selain itu sekolah juga gunakan applikasi-aplikasi EdShed untuk kuiz subjek Sains & Matematik seperti Frog Play iaitu pembelajaran dalam bentuk permainan, TT Rockstar (untuk latih tubi darab dan bahagi), MyOn reading (perpustakaan dalam talian) utk semua pelajar membaca buku.
Ada banyak kategori buku di situ. Setiap pelajar diminta membaca sekurang-kurangnya satu buku setiap hari.
Seminggu sekali ada setengah jam perjumpaan untuk bersembang santai. Cikgu akan tanya ada siapa-siapa nak cerita apa-apa. Ramai yang angkat tangan.
Cikgu sebut nama setiap seorang untuk bercerita. Ada yang cerita tentang sambutan hari jadi, permainan mereka dan macam-macam. Adam dan Awwab pula suka berkongsikan tentang kucing mereka.
Cikgu pun layan budak-budak bersembang. Wow, amazing, I love it, lovely dan macam-macam lagi kata-kata pujian. Mat salih kan suka memuji apatah lagi untuk kanak-kanak. Budak-budak pun suka bercerita sebab cikgu pandai layan.
Seminggu sekali juga ada perjumpaan merit. Pelajar diberi anugerah untuk pencapaian terbaik mengikut kategori. Minggu ini Adam dapat anugerah untuk myON reading sebab dia paling banyak membaca. Terkejut dia.
Yelah, pukul 10 dia dah siap semua tugasan, jadi saya suruh dia baca dua buah buku di myON baru boleh tengok YouTube.
Secara peribadi bagi saya yang mempunyai dua anak yang sedang bersekolah rendah, sebagai ibu bapa tidak susah sangat untuk mengawasi anak-anak. Awal-awal mungkin pening untuk fahamkan sistem, log masuk dan tetapkan Microsoft Teams serta aplikasi berkaitan.
Tetapi saya bernasib baik Adam buatkan semuanya. Log masuk untuk Awwab pun dia yang ajar. Memudahkan kerja saya.
Di situ juga ada ruangan chat secara berkumpulan untuk mereka berbincang, tanya soalan pada guru atau bersembang kosong. Tiada grup WhatsApp. Semuanya melalui Microsoft Teams. Ada ibu-bapa juga di sana yang mewakiliki anak-anak dan bertanya kepada cikgu.
Cikgu pula mengawasi perkembangan pelajar-pelajar melalui tugasan kerja rumah yang mereka hantar atau kuiz dalam talian yang mereka buat.
Tiada isu kehadiran yang dibangkitkan. Tiada isu berebut komputer sebab boleh gilir-gilir guna komputer riba untuk tonton video bila-bila masa.
Kalau ketinggalan seminggu pun masih boleh mengikuti sebab video sentiasa tersedia di situ. Cikgu beri masa biasanya seminggu untuk hantar setiap tungasan, mungkin nak mudahkan ibu-bapa yang sibuk.
Tetapi lebih bagus hantar pada hari yang sama kalau tak nak ketinggalan. Nak hantar lambat pun boleh. Tetapi jika awal setidaknya cikgu nampak kita ada usaha.
Sebagai guru, kerja mungkin lebih dari biasa. Walaupun kebanyakan pengajaran secara maya adalah melalui video yang disediakan kerajaan, cikgu tetap kena ajar macam biasa anak-anak pekerja barisan hadapan di sekolah.
Mereka (pekerja barisan hadapan) harus bekerja jadi mereka masih boleh hantar anak-anak ke sekolah. Cikgulah yang kena sesuaikan jadual mengajar sama ada dalam talian dan juga di bilik darjah.
Bagusnya pembelajaran dalam talian ini ibu-bapa pun tahu serba sedikit tentang pembelajaran anak-anak.
Contohnya pendidikan agama, Awwab sedang belajar tentang agama Islam. Tugasan untuk hari tersebut diminta berikan lima rukun Islam. Adam pula sedang belajar tentang agama Hindu dan Sikh.
Begitulah serba sedikit bagaimana pembelajaran secara maya atau dari rumah di sekolah rendah UK ini. Alhamdulillah tak susah bagi saya, tapi secara peribadi saya lebih gemar sistem pembelajaran di sekolah sebab penat berkurung dalam rumah.
Baca juga perkongsian kami yang menyenaraikan tablet terbaik untuk tujuan belajar dari rumah sebelum ini melalui pautan di bawah.
Sesuai Bagi Tujuan PdPR, Ini Tablet Terbaik Pilihan Kami Di Bawah RM600
KPM Tambah Slot Program TV Pendidikan Di DidikTV@NTV7 khusus Untuk Calon SPM