Walaupun majoriti pekerja di Malaysia mencarum kepada PERKESO setiap bulan, masih ramai yang tidak sedar tentang manfaat sebenar yang mereka boleh tuntut, terutamanya apabila berlaku kemalangan semasa ke tempat kerja.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalamannya membuat tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara (Temporary Disablement Benefit) dari PERKESO melalui satu hantaran tular di Threads.
Lebih mengejutkan, prosesnya berjalan amat lancar – dia menerima bayaran pampasan hanya tiga hari selepas menghantar dokumen.
“Siapa tak nak duit percuma??” tulisnya dengan nada berseloroh.
Jatuh Longkang Semasa Hantar Anak ke Sekolah
Kejadian berlaku sewaktu wanita tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja tetapi sebelum itu beliau perlu menghantar anaknya ke sekolah.
Namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia terpijak dan jatuh ke dalam longkang tepi jalan sehingga menyebabkan kecederaan serius pada kaki.
Dia segera dibawa ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke hospital pakar, di mana pemeriksaan X-ray mengesahkan kakinya patah tujuh tempat.
Dia perlu menjalani pembedahan segera dan diberi cuti sakit selama dua bulan, sepanjang masa itu beliau hanya bergantung pada kerusi roda dan tongkat.
Tuntutan Diterima Walaupun Bukan Di Pejabat
Walaupun insiden berlaku di luar tempat kerja, tuntutannya tetap diluluskan kerana ia berlaku dalam perjalanan ke tempat kerja, yang termasuk dalam skop perlindungan PERKESO.
Pegawai PERKESO turut menghubunginya untuk pengesahan, termasuk bertanya kenapa dia tidak menggunakan pengangkutan awam.
Sebagai ibu tunggal yang menetap di kawasan seperti Bukit Damansara, dia jelaskan bahawa akses kepada pengangkutan awam sangat terhad.
Jawapan dan dokumentasinya diterima, dan tuntutan terus diluluskan.
Senarai Dokumen Yang Diperlukan
Untuk membantu orang lain yang mungkin melalui situasi sama, beliau berkongsi senarai dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara:
- Borang 34 (muat turun dari laman web PERKESO)
- Salinan Kad Pengenalan
- Sijil cuti sakit (MC) asal
- Slip gaji 6 bulan sebelum bulan kemalangan
- Rekod kehadiran bulan kemalangan
- Penyata bank (bank tempatan)
- Laporan polis (jika ada, dari balai berhampiran lokasi kemalangan)
- Peta laluan dari rumah ke tempat kerja (perlu dilukis dengan jelas)
- Cop dan tandatangan pengesahan daripada HR di Borang 34
Menurut beliau, walaupun tuntutan boleh dihantar secara dalam talian, beliau memilih untuk datang sendiri ke cawangan PERKESO Jalan Tun Razak, dan segala urusan di kaunter selesai dalam masa kurang dari 10 minit.
Beliau juga mengingatkan bahawa tuntutan mesti dibuat dalam masa tiga bulan selepas kejadian, jika tidak ia akan ditolak secara automatik.