Seorang wanita Perancis dari pulau Guadeloupe di Caribbean telah menjadi tajuk sensasi di dalam dunia sains apabila dikenal pasti sebagai pembawa tunggal darah jenis baharu yang dikenali sebagai ‘Gwada Negatif’ menurut agensi bekalan darah Perancis.

Pengumuman mengejutkan ini datang 15 tahun selepas saintis menerima sampel darah dari seorang pesakit yang jalani ujian rutin sebelum pembedahan, kata French Blood Establishment (EFS) pada 20 Jun lalu.

Wanita Perancis Bawa Jenis Darah Baharu Di Dunia, Pakar Sains Terpegun
Sumber Gambar: NST

“EFS baru saja menemui sistem kumpulan darah ke-48 di dunia!.

“Penemuan itu diiktiraf secara rasmi pada awal Jun di Milan oleh Persatuan Transfusi Darah Antarabangsa,” kata agensi itu dalam satu kenyataan di rangkaian sosial LinkedIn.

Tahukah anda persatuan saintifik sehingga kini hanya mengiktiraf 47 sistem kumpulan darah sahaja?

“Antibodi yang sangat luar biasa ini kami temukan pada pesakit pada tahun 2011,” kata Dr. Thierry Peyrard, seorang ahli biologi perubatan dari EFS yang terlibat dalam penemuan mengejutkan ini, kepada AFP.

Namun begitu, sumber pada ketika itu tidak membenarkan penyelidikan lanjut. Saintis bagaimanapun akhirnya berjaya membongkar misteri itu pada tahun 2019 menerusi hasil ujian “asid deoksiribonukleik (DNA) tinggi,” yang langsung menyerlahkan mutasi genetik menurut Dr Preyrard.

Pesakit tersebut, seorang wanita berusia 54 tahun yang menetap di Paris, sedang menjalani ujian rutin sebelum pembedahan apabila antibodi yang sebelumnya tidak dikenali itu dikesan.

“Wanita ini tidak dapat dinafikan satu-satunya kes yang diketahui di dunia.

“Dia satu-satunya orang di dunia yang serasi dengan dirinya sendiri,” kata pakar itu.

Menurut Dr. Peyrard, wanita itu mewarisi jenis darah unik ini daripada kedua ibu bapanya, yang masing-masing membawa gen yang telah bermutasi.

Menariknya, Dr. Peyrard menyatakan bahawa dalam kalangan pakar, jenis darah baharu ini sering disebut sebagai “Gwada negatif”. Istilah ini merujuk kepada asal usul pesakit dan, menurutnya, “kedengaran baik dalam semua bahasa.”

Penemuan ini menyusuli penemuan sistem kumpulan darah ABO yang terkenal pada awal 1900-an.