Pernah dengar tak pasal ‘Darah Emas’ atau Golden Blood? Bunyinya macam dalam filem adiwira, kan? Tapi hakikatnya, darah ini memang wujud dan tersangatlah jarang ditemui—malah dalam berbilion manusia di bumi, tak sampai 50 orang pun yang ada jenis darah ni.

Apa yang lebih membanggakan, salah seorang pemilik darah paling rare di dunia ini rupanya berasal dari Terengganu! Bukan calang-calang tau, sebab setitik darah wanita ini nilainya lebih berharga daripada permata buat dunia perubatan.

Memetik Harian Metro, wanita dari Terengganu baru-baru ini telah disahkan sebagai satu-satunya individu di negara kita yang memiliki kumpulan darah Rh-null.

Darah ini dianggap sebagai ’emas’ kerana secara statistiknya, peluang untuk menemui pemiliknya hanyalah seorang dalam setiap enam juta orang.

Keadaan ini menjadikan wanita berkenaan sebahagian daripada sebuah ‘kelab eksklusif’ dunia, memandangkan setakat ini hanya ada lebih kurang 50 individu sahaja di seluruh planet ini yang dikesan memiliki jenis darah yang sama.

Walaupun wanita berusia 29 tahun ini memilih untuk menjadi wira tanpa nama dengan tidak mendedahkan identitinya kepada umum, beliau tetap sudi tampil memberikan kerjasama bagi membantu dunia perubatan memahami keunikan anugerah yang dimilikinya itu.

Segalanya bermula pada tahun 2016 yang lalu, di mana wanita ini hanya mengetahui tentang keunikan dirinya selepas melakukan aktiviti menderma darah.

Beliau sendiri mengakui pada mulanya memang sangat sukar untuk mempercayai, apatah lagi mahu menerima hakikat bahawa dirinya adalah satu-satunya insan di seluruh Malaysia yang membawa kumpulan darah paling jarang ditemui itu.

Bayangkan perasaan apabila mendapat tahu dalam jutaan rakyat Malaysia, hanya anda seorang sahaja yang memiliki ‘darah emas’ tersebut memang satu kenyataan yang cukup mengejutkan untuk dihadam.

Namun, selepas mendapat penjelasan mendalam daripada doktor tentang betapa pentingnya ‘harta’ yang mengalir dalam nadinya. Beliau mula reda dan sedar ada tanggungjawab besar yang perlu dipikul.

Sejak itu, aspek kesihatan menjadi keutamaan nombor satu buat dirinya kerana beliau sedar risiko yang bakal dihadapi jika berlaku sebarang kecemasan.

Detik cemas benar-benar berlaku pada tahun 2024 apabila beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Walaupun tengah menanggung kesakitan, perkara pertama yang keluar dari mulutnya kepada orang awam yang membantu bukanlah rintihan, sebaliknya pesanan penting tentang jenis darah rare yang dimilikinya itu.

Maklumat tersebut sangat kritikal supaya pihak hospital dapat memberikan rawatan yang tepat tanpa sebarang kesilapan.

Beliau juga mengakui bahawa keistimewaan ini datang dengan cabaran tersendiri, terutamanya apabila memikirkan masa depan seperti fasa perkahwinan dan kehamilan yang memerlukan pemantauan perubatan yang jauh lebih rapi.

Doanya cuma satu—supaya sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada penyakit kronik, memandangkan pencarian darah yang sepadan di Malaysia boleh dikatakan mustahil kerana beliau adalah satu-satunya pemilik jenis darah tersebut di sini.

Dalam masa yang sama, beliau sempat menitipkan pesanan buat semua rakyat Malaysia agar rajin menderma darah.

Baginya, melalui aktiviti pendermaan darahlah beliau dapat mengetahui keunikan dirinya, sekali gus membuktikan betapa besarnya peranan seorang penderma dalam menyelamatkan nyawa orang lain.

Sebagai info tambahan, The Golden Blood ini mula dikesan pada tahun 1961 melibatkan seorang wanita di Australia.

Darah ini dianggap sebagai ‘penyelamat nyawa universal’ kerana sifatnya yang neutral tanpa antigen, sekali gus mengurangkan risiko penolakan badan penerima ketika proses pemindahan darah dilakukan.

Walaupun mereka boleh menderma kepada orang lain, mereka hanya boleh menerima darah daripada jenis Rh-null juga. Disebabkan itulah mereka sangat menjaga kesihatan diri.