Bercerita tentang travel, kalau boleh semua negara mahu pergi dan ini juga mungkin impian semua orang. Mencuba sesuatu yang baru, meneroka jati diri, mengenal adat dan budaya orang lain, semuanya pengalaman yang sungguh menyeronokkan.
Semua orang mempunyai alasan tersediri kenapa mahu travel, begitu juga dengan gadis berusia 27 tahun ini. Dia mahu mencipta rekod sebagai wanita terpantas dan termuda mengelilingi dunia. Wah!
Cassandra De Pecol atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Cassie, gadis yang berasal dari Amerika Syarikat ini nekad untuk mengelilingi kesemua 196 negara di dunia dengan waktu paling cepat iaitu dalam masa kurang dari 3 tahun sahaja.

Mencapai impian seperti ini sudah tentunya memerlukan kos perbelanjaan yang besar. Pada awalnya, Cassandra pernah menulis keinginan untuk berkunjung ke setiap negara di laman Kickstarter pada tahun 2014.
Siapa sangka, idea ini menarik perhatian beberapa pihak untuk menajanya. Jumlah kos keseluruhan yang diperlukan Cassandra lebih kurang $200 ribu Usd, namun sebagai pertukaran Cassandra bantu mempromosikan para penajanya seperti promosi hotel-hotel cantik, tempat menarik dan sebagainya. Dalam masa yang sama Cassandra turut mendapat tempat penginapan percuma sepanjang berada di negara tersebut.
Menurut apa yang diceritakan di blognya, Cassandra kini sudah menjejaki sebanyak 181 negara, cuma tinggal berbaki 15 negara sahaja lagi untuk mencapai impiannya sebagai wanita paling pantas mengelilingi dunia. Anda boleh mengikuti pengembaraan Cassie di Expedition196.com atau di Instagram@expedition_196.


Orang kata dunia ini kecil saja. Jadi,sehingga ke hari ini berapa banyak negara yang sudah anda lawati?