Bukit Bintang terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan pengunjung tempatan, tetapi kawasan ini juga dipenuhi dengan warga asing yang meniaga atau dikenali sebagai “penjaja rambo”.
Mereka bukan sekadar warga tempatan—kebanyakan peniaga ini datang dari negara seperti Bangladesh, Filipina, Myanmar, dan Indonesia.
Memetik laporan Harian Metro, penjaja rambo ini muncul menjual pelbagai barangan hiasan seperti bunga, permainan kanak-kanak, belon, dan aksesori berlampu.
Kegiatan ini sering berlaku pada waktu malam, terutamanya di hujung minggu, apabila jumlah pengunjung meningkat.
Menariknya, kebanyakan penjaja ini tidak memerlukan lesen perniagaan ataupun menyewa premis.
Mereka hanya bergerak dari satu tempat ke tempat lain, mengambil peluang situasi sibuk ramai orang di sekitar pusat beli-belah terkenal seperti Pavilion dan di sepanjang Jalan Conlay.
Salah seorang peniaga bunga yang ditemui, seorang lelaki dari Bangladesh, mendedahkan kepada Harian Metro bahawa dia mampu menjual sehingga 200 kuntuman bunga pada hujung minggu.
“Saya mula berniaga sekitar jam 5 petang, bergerak dari Pavilion hingga Jalan Conlay. Satu kuntum bunga dijual pada harga RM15. Kalau hujung minggu, hasil jualan saya mencecah ratusan ringgit,” katanya.
Walaupun kedengaran seperti perniagaan kecil, penjaja warga asing ini sebenarnya mengaut keuntungan besar.
Tanpa perlu membayar sewa atau lesen perniagaan, warga asing ini bebas meniaga.
“Saya sudah tiga bulan berniaga di sini. Kawasan ini lebih selamat, jarang diawasi pihak berkuasa. Jika di Dataran Merdeka, kami sering diserbu, tetapi di sini saya rasa lebih selesa dan boleh berniaga dengan tenang,” ujar seorang peniaga Filipina.
Walaupun perniagaan ini mungkin dilihat tidak berbahaya, kehadiran mereka boleh menimbulkan beberapa isu.
Pertama, mereka bersaing secara tidak adil dengan penjaja berlesen yang telah membayar lesen dan cukai perniagaan.
Kehadiran penjaja haram ini turut menjejaskan laluan pejalan kaki di sekitar Bukit Bintang, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.
Selain itu, isu kebersihan juga menjadi satu masalah.
Penjaja yang sering berpindah-randah ini tidak terikat dengan sebarang peraturan atau pemantauan kebersihan, menyebabkan sampah-sarap sering tertinggal selepas mereka berniaga.