Dengan kehadiran kelab lari bak cedawan selepas hujan telah memberi peluang kepada pemula untuk bersukan dan beramah mesra dengan komuniti tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

Namun, berbeza situasi di negara jiran apabila wujud isu warga asing yang tidak mahu bercampur dengan warga lokal sehingga jadi perbualan hangat di internet.

Baru-baru ini, platform media sosial Threads kecoh dengan satu isu yang membangkitkan kemarahan ramai warga tempatan di Bali, Indonesia.

Sebuah kelab lari komuniti di Bali telah menjadi sasaran kritikan hebat selepas didakwa mengamalkan dasar diskriminasi.

Kelab tersebut dengan nama Entourage didakwa hanya menerima warga asing atau ekspatriat untuk menyertai aktiviti mereka, sambil secara terang-terangan menolak permohonan pendaftaran daripada penduduk tempatan.

Proses permohonan yang didakwa berat sebelah

Kekecohan bermula apabila beberapa individu berkongsi pengalaman pahit mereka ditolak semasa cuba menyertai kelab lari yang difahamkan diasaskan oleh ekspatriat Belanda tersebut.

Berdasarkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular, pihak penganjur dilihat menyoal siasat pemohon yang menggunakan kod nombor telefon tempatan.

Warga Bali Minta Tutup Kelab Lari Eksklusif 'Expat', Didakwa Seumpama Penjajahan Halus
Sumber Gambar: Threads

Mereka secara spesifik bertanya sama ada pemohon tersebut adalah seorang nomad digital dan bertanyakan lokasi sebenar mereka menetap di Bali.

Lebih mengecewakan, seorang pengguna wanita mendedahkan bahawa permohonannya ditangguhkan dengan alasan dia mempunyai nama dan nombor telefon Indonesia.

Warga Bali Minta Tutup Kelab Lari Eksklusif 'Expat', Didakwa Seumpama Penjajahan Halus
Sumber Gambar: Threads

Namun begitu, apabila suaminya yang mempunyai nama dan nombor telefon dari negara barat membuat permohonan, ia diluluskan secara serta-merta.

Tindakan pilih kasih ini menyebabkan kelab tersebut terus dilabel sebagai sebuah komuniti yang rasis, malah ada netizen yang mula memetik akaun rasmi pihak imigresen untuk menyiasat status dokumen penganjur.

Isu perkauman dan penjajahan halus

Meninjau ke ruangan komen, kemarahan warga tempatan hakikatnya bukanlah berpunca semata-mata kerana tidak dapat menyertai kelab tersebut.

Mereka sedar bahawa terdapat banyak lagi kelab lari lain yang boleh disertai di pulau itu. Punca utama kemarahan adalah corak pemikiran rasis yang ditunjukkan oleh warga asing yang menumpang di negara orang.

Terdapat pengguna media sosial yang menyifatkan situasi ini sebagai penjajahan halus versi baharu.

Komuniti tempatan berasa sangat kecewa dan marah apabila warga asing bebas mewujudkan acara eksklusif di tanah air mereka, tetapi penduduk asal pula dihalang dan disoal siasat sebelum diketepikan tanpa alasan yang kukuh selain daripada status kewarganegaraan.

‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’

Warga maya turut mengingatkan kumpulan ekspatriat ini tentang pepatah lama, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka menegaskan bahawa rasa hormat terhadap tempat, budaya, dan penduduk asal harus sentiasa diutamakan oleh warga luar.

Mengetepikan orang tempatan semata-mata kerana kerakyatan disifatkan sebagai satu tindakan yang biadab dan tidak menghormati tuan rumah.

Malah, ada netizen yang memberi amaran bahawa dasar yang terlalu diskriminatif sebegini langsung tidak mendatangkan keuntungan kepada penganjur kelab itu sendiri.

Jika warga tempatan benar-benar hilang sabar dengan sikap sebegini, mereka boleh bertindak balas dengan pelbagai cara, seperti menyekat laluan jalan atau mengganggu jalannya acara tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, ada yang berharap agar terdapat campur tangan pihak kerajaan dan imigrasi dalam mengenal pasti sama ada mereka mempunyai permit yang sah atau sebaliknya. Tidak kurang juga ada yang mahu kelab ini ditutup serta-merta.

Sumber