Jabatan Imigresen Johor berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan khidmat pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 kepada warga asing dalam serbuan di sebuah premis di Gelang Patah baru-baru ini.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata serbuan pada kira-kira 4.50 petang itu dibuat atas maklumat awam dan hasil risikan Unit Tindakan dan Operasi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Sindiket didalangi seorang warga Bangladesh dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan, tiket penerbangan, E-visa dan khidmat pendaftaran program RTK 2.0 serta PLKS sejak setahun lalu dengan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan kita merampas empat pasport India, sebuah komputer, sebuah mesin pencetak, enam telefon bimbit, satu set salinan dokumen perjalanan dan permit yang disyaki palsu serta wang tunai berjumlah RM320,” katanya dalam kenyataan.

Baharuddin berkata pihaknya turut menahan empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki warga Bangladesh berstatus penduduk tetap.

Katanya lagi, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56 (1A) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan warga asing kepada pihak berkuasa. Dalam pada itu, beliau juga menyatakan memandang serius akan kegiatan sindiket yang membekalkan dokumen palsu kerana boleh mencemar nama baik mereka.