Seorang wanita warga China mengaku bersalah mencederakan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu, lapor Buletin TV3.
Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 selepas tertuduh, Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Baca Juga:
- Hampir 1.8 Juta Pelancong China Datang Malaysia Dalam Lima Bulan Pertama Tahun Ini

- ‘Makin Biadap’ – Jurugambar KLCC Maki Pelancong China, Ini Sebabnya

- Wanita Malaysia Kongsi Pengalaman Naik Teksi Tanpa Pemandu Di China Buat Ramai Kagum

Mengikut pertuduhan, Fuyuan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai imigresen, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman, ketika mangsa bertugas di kaunter imigresen Aras 4 Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 kira-kira jam 8 malam pada 13 Ogos lalu.
Memetik laporan itu lagi, peguam bela Tai Ying Fung dan Jason Anthony merayu hukuman ringan.
Alasannya kerana tertuduh menyesal, mengaku salah pada sebutan pertama serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Dalam masa sama peguam bela memohon mahkamah mengenakan denda sahaja memandangkan Fuyuan sudah direman lima hari serta mempunyai dua anak kecil yang memerlukan perhatian seorang ibu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa Veerasamy memohon hukuman setimpal demi kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai.
“Walaupun tertuduh mendakwa bertindak kerana emosi, tindakannya tetap mencederakan seorang penjawat awam. Mahkamah perlu memberi isyarat jelas bahawa kesalahan sebegini tidak boleh diterima masyarakat,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh tangkap pada 13 Ogos lalu, serta denda RM2,000.
Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dikenakan tambahan penjara dua bulan.