Mahkamah Majistret hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda yang ‘tidak berpuasa’ pada Ahad lalu.
Memetik Berita Harian, Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Baca Juga:
- Menteri Tegur Lelaki Tampar Remaja Cina Makan Di Bulan Ramadan
- Tak Balas WhatsApp ‘Good Morning Sayang’, Lelaki Tampar Teman Wanita Didenda RM800
- Polis Tampar Orang Awam Sudah Ditukar Ke Unit Lain
Nur Fatihah memaklumkan mahkamah, beliau baharu menerima arahan berkenaan daripada AGC.
Difahamkan anak tertuduh yang berada di galeri mahkamah turut terkejut dengan arahan terbaharu berkenaan.
Terdahulu, kes berkenaan sempat menjalani prosiding apabila Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di sini, jam 3.45 petang, Ahad lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila OKS telah bertindak menampar pipi kanan mangsa.
Pegawai kesihatan yang memeriksa mangsa mengesahkan beliau mengalami lebam di pipi kanannya.
Memetik laporan itu lagi, OKS kemudian menyatakan beberapa fakta yang dibacakan adalah tidak tepat.
“Masa tak betul. Saya tampar tapi tak sampai lebam,” katanya.
Namun apabila Majistret bertanya semula kepada OKS sama ada beliau mahu dibicarakan, OKS kemudian berkata dia tetap mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta kes dibacakan.
Ia menyebabkan Majistret kemudian menolak pengakuan bersalah OKS berkenaan.
“Saya terpaksa menolak pengakuan bersalah bersyarat dibuat OKS kerana pengakuan bersalah seharusnya dibuat tanpa bersyarat,” kata Majistret.
Bagaimanapun, ketika Timbalan Pendakwa Raya sedang berhujah untuk menetapkan jaminan tertuduh, beliau memaklumkan mendapat arahan terbaharu daripada Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai DNAA.
Majistret kemudian bertanya sama ada kes berkenaan akan dituduh semula, sebelum Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah, kes berkenaan akan dituduh semula selepas Pejabat Peguam Negara di Putrajaya meneliti semula kertas siasatan.