Warga Indonesia sedang rancak menyerang laman media sosial Instagram milik calon pemain warisan negara iaitu Josh Brownhill selepas terdapat laporan beliau semakin hampir untuk beraksi bersama Malaysia.

Tonggak berusia 28 tahun yang juga kapten kelab Burnley itu dilaporkan sedang dalam proses menyelesaikan dokumentasi untuk membolehkannya mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Baca Juga:

Namun perkara ini membuatkan peminat dari negara seberang kurang senang lalu melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh mereka iaitu menyerang laman Instagram Brownhill.

Di ruangan komen, ada yang menggesa agar Brownhill tidak beraksi dengan Malaysia kerana skuad Harimau Malaya tidak layak ke saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

“Jangan beraksi dengan Malaysia. Bola sepak mereka ketika ini sangat buruk,” tulis seorang warga seberang di ruangan komen.

Selain Josh Brownhill, seorang lagi pemain iaitu Zien Flemming turut dilaporkan sedang menyelesaikan segala dokumentasi yang diperlukan bagi membolehkan beliau beraksi bersama Malaysia.

Mats Deijl pula menegaskan proses dokumentasi beliau sudah selesai sekaligus membenarkan pemain itu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Dalam satu podcast yang mana Mats menjadi tetamu, beliau menyatakan semua dokumen yang diperlukan untuk mengesahkan beliau mempunyai kaitan dengan Malaysia sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada pihak berkaitan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Proses dokumentasi sudah selesai. Semua dokumen seperti sijil kelahiran atuk saya telah serahkan kepada mereka. Pada dasarnya semua sudah diserahkan kepada pihak berkaitan.

“Sekarang mereka sedang menguruskan untuk mendapatkan pasport untuk saya. Saya sangat menginginkannya (beraksi untuk Malaysia),” kata Mats Deijl.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu beraksi bersama skuad kebangsaan seawal bulan Disember, pemain pertahanan Go Ahead Eagles ini menyambut baik perkara itu.

“Kalau boleh saya mahu beraksi. Saya rasa itu adalah satu perkara yang baik untuk saya,” tambahnya.