Calon pemain warisan negara, Mats Deijl menyatakan proses dokumentasi beliau sudah selesai sekaligus membenarkan pemain itu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Dalam satu podcast yang mana Mats menjadi tetamu, beliau menyatakan semua dokumen yang diperlukan untuk mengesahkan beliau mempunyai kaitan dengan Malaysia sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada pihak berkaitan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baca Juga:

“Proses dokumentasi sudah selesai. Semua dokumen seperti sijil kelahiran atuk saya telah serahkan kepada mereka. Pada dasarnya semua sudah diserahkan kepada pihak berkaitan.

“Sekarang mereka sedang menguruskan untuk mendapatkan pasport untuk saya. Saya sangat menginginkannya (beraksi untuk Malaysia),” kata Mats Deijl.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu beraksi bersama skuad kebangsaan seawal bulan Disember, pemain pertahanan Go Ahead Eagles ini menyambut baik perkara itu.

“Kalau boleh saya mahu beraksi. Saya rasa itu adalah satu perkara yang baik untuk saya,” tambahnya.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan Mats Deijl telah menghubungi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Datuk dia dari Malaysia, jadi kita tengah proses, dia menghubungi pegawai kita dan Pau Marti untuk (nyatakan hasrat) dia nak main Malaysia,” katanya.

Seorang lagi pemain yang bakal menyarung jersi Malaysia ialah Wan Kuzain Wan Kamal dimana pemain itu bakal menyertai skuad kebangsaan selepas pulih dari kecederaan.

Pemain berusia 25 tahun itu kini beraksi bersama pasukan divisyen 2 dalam sistem Liga Bola Sepak Amerika Syarikat, St Louis City 2.

Wan Kuzain pernah sertai kem latihan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara namun khidmat beliau gagal digunakan untuk saingan Sukan SEA 2019 disebabkan oleh masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.